Berita Utama

PEMBINA sokong cadangan ganti latihan industri kepada kaedah alternatif

Kerajaan patut garap kemahiran pelajar hasilkan industri baharu

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 6 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) menyambut baik cadangan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran untuk menggantikan latihan industri kepada beberapa latihan alternatif yang bersesuaian kepada pelajar.

Antaranya melaksanakan projek berasaskan industri, projek berasaskan masalah, kajian topik atau projek penyelidikan serta aktiviti simulasi dan amali dalam bentuk maya, dalam talian mahupun ‘jarak jauh’ juga boleh dilaksanakan berdasarkan kesesuaian. 

Presiden PEMBINA, Wafiq Azman yakin kaedah yang disyorkan akan membantu menyelesaikan masalah penempatan pelajar latihan industri.

Pada masa sama, PEMBINA mencadangkan kerajaan menyediakan peruntukan khas membantu mahasiswa yang menjalani latihan industri supaya faktor jumlah upah dan elaun tidak menjadi penghalang untuk mereka menceburi kerjaya mengikut bidang pengajian. 

“Jika kerajaan boleh menyediakan subsidi untuk pekerja sedia ada dalam industri melalui Program Subsidi Upah (PSU) dan Penjana Kerjaya, maka PEMBINA menganggap menaja dan memberi subsidi kepada latihan industri adalah sebahagian daripada pelengkap kepada proses menyediakan rakyat Malaysia yang berkerjaya,” katanya kepada Ismaweb.net

Selain itu, beliau berkata, kerajaan perlu mengusahakan inisiatif bagi memperkasa semula fungsi mahasiswa sebagai ejen cetusan kepada industri-industri baharu untuk negara. 

Tegasnya, mahasiswa seharusnya tidak perlu diterhadkan kepada mengisi kekosongan-kekosongan pasaran yang sedia ada.

“Namun, mereka boleh digerakkan untuk menghasilkan syarikat-syarikat baharu atau syarikat ‘start-up’ baharu yang mampu memberi manfaat kepada kelompongan negara dari sudut teknologi, sains, keselamatan dan ekonomi. 

“Mahasiswa adalah golongan intelektual, seharusnya peranan intelektual tersebut perlu digarap untuk menghasilkan lebih banyak industri-industri baharu untuk negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button