Berita Utama

Pengurus pasar raya dikompaun RM1,000 langgar SOP

Gagal pastikan penjarakan fizikal pengunjung dalam premis

BANGI, 6 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Pengurus sebuah pasar raya di Perak dikompaun sebanyak RM1,000 atas pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) mengikut Akta 342 kerana gagal memastikan penjarakan fizikal membabitkan pengunjung premis.

Kompaun itu susulan video tular berdurasi 11 saat dan 30 saat yang dimuat naik di laman Facebook, memaparkan sekumpulan pelanggan sedang berebut mendapatkan barangan promosi berupa minuman tanpa mengamalkan penjarakan fizikal di sebuah pasaraya di sekitar Sitiawan.

Hasil siasatan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Manjung mendapati bahawa kejadian itu berlaku pada 7 Januari lalu, antara jam 9 pagi hingga 9.30 pagi di Can Food Department, Pasaraya Econsave di Jalan Medan Sejahtera, Jalan Lumut, Sitiawan, Perak.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Nor Omar Sappi berkata, pihak pengurusan pasar raya terbabit telah dipanggil pihak IPD dan Kementerian Kesihatan (KKM) Manjung untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan pada jam 2 petang ini.

“Satu kompaun telah dikeluarkan ke atas pengurus pasar raya tersebut dengan nilai tawaran kompaun RM1,000 atas pelanggaran SOP iaitu gagal memastikan penjarakan fizikal oleh pengunjung di dalam premis di bawah Akta 342.

“Pihak IPD Manjung menasihati orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pelanggaran SOP ini boleh menghubungi bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button