Berita Utama

Bagaimana nanti nasib dunia Islam di bawah Biden?

Tindakan Biden kurangkan campur tangan AS di Yaman tak akan tamatkan perang serta-merta

BANGI, 8 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Seperti mana analisis impak manifesto dasar Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-46, Joe Biden boleh memberi petunjuk naik turun sektor saham tertentu, begitu juga dengan manifesto dasar luar beliau boleh dikaji untuk mendapatkan jangkaan konflik, perang dan keamanan di dunia Islam.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Muein Abadi berkata, saat ini, terdapat beberapa negara yang menjadi fokus utama seluruh umat Islam iaitu Palestin, Yaman, Syria dan juga Iran.

Dalam isu pendudukan Palestin, Abdul Muein menegaskan, meskipun Biden berpendirian menolak usaha Zionis Israel untuk mengilhak wilayah Tebing Barat Palestin, beliau masih menyokong kuat rejim tersebut dengan menolak seruan badan yang dikenali sebagai Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) kononnya atas dasar ‘antisemitik’.

“Malah, beliau juga secara terbuka menyokong tindakan negara-negara Arab yang menormalisasi hubungan diplomatik dengan rejim Zionis tersebut seperti UAE, Bahrain, Sudan dan Maghribi,” katanya dalam artikel yang disiarkan Sinar Harian, hari ini.

Sementara dalam isu Perang Yaman pula, Biden sejak sekian lama mengkritik campur tangan Arab Saudi di sana serta berjanji akan menarik balik sokongan AS terhadap perang tersebut.

“Secara khusus, Biden bahkan memberi isyarat untuk mempertimbang semula penjualan senjata kepada Arab Saudi.

“Berbeza dengan Donald Trump sebelum ini,” katanya.

Trump sebelum ini telah meluluskan penjualan peluru-peluru pintar berjumlah AS$290 bilion (RM1.12 trillion) kepada sekutu utama mereka di Timur Tengah iaitu Arab Saudi.

Menurut Pentagon, penjualan senjata-senjata pintar Amerika kepada Arab Saudi termasuk kira-kira 3,000 butir GBU-39 Small Diameter Bomb 1 (SDB) serta peralatan sokongan yang lain untuk kegunaan tentera udara negara Arab itu bagi membolehkan mereka memenuhi keperluan pada masa ini serta akan datang.

Penjualan itu berlaku hanya kira-kira dua minggu sebelum Trump menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Biden, yang telah pun menyatakan hasratnya untuk mengurangkan penjualan senjata kepada Arab Saudi bagi memaksa Riyadh menghentikan serangan terhadap pemberontak di Yaman.

Pun begitu, kata Abdul Muien, disebabkan Perang Yaman adalah begitu rumit – melibatkan Arab Saudi dan sekutunya, UAE dan proksinya di selatan, serta Houthi dengan Iran – maka tindakan Biden mengurangkan campur tangan AS di sana tidak akan dengan serta-merta menamatkan perang tersebut.

“Kita sebagai umat Islam wajib untuk terus mendoakan kebaikan ekonomi dan politik daripada Allah SWT dan bukannya berharap kepada siapa jua yang berkuasa di White House,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button