Berita Utama

Kelantan benar majlis nikah dan kenduri, kehadiran 50 peratus

Mesti lengkap vaksin, patuhi penjarakan fizikal

KOTA BHARU, 7 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Majlis akad nikah dan kenduri di Kelantan dibenarkan bagi individu yang lengkap vaksin COVID-19 dengan kehadiran 50 peratus kapasiti ruang premis berkuat kuasa serta merta.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata, individu yang hadir perlu mematuhi penjarakan fizikal.

“Individu yang lengkap menerima vaksin dibenarkan membawa kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan ia perlu mematuhi protokol kesihatan umum.

“Kursus praperkahwinan Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam (MBKPI) masih dijalankan secara dalam talian.

“Perkhidmatan khidmat nasihat dan runding cara dijalankan secara dalam talian dan bersemuka dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Che Mohd Rahim menjelaskan, segala arahan dan ketetapan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa adalah terpakai.

SOP tersebut dikeluarkan oleh Bahagian Undang-undang Keluarga Islam sepanjang tempoh Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan ia juga merujuk kepada situasi semasa berkaitan wabak COVID-19 di Kelantan.

Bagaimanapun beliau berkata, semua arahan dikeluarkan sebelum ini adalah terbatal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button