Berita Utama

Kereta api tak berhenti: KTMB ambil dua minggu lengkapkan siasatan

Penilaian panel tentukan tindakan kepada petugas terbabit

KUALA KRAI, 7 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengambil masa dua minggu bagi melengkapkan siasatan berhubung insiden kereta api tidak berhenti di Hentian Kuala Gris.

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Taha berkata, satu panel siasatan telah diwujudkan bagi melakukan siasatan lebih terperinci dengan mengambil kira semua aspek.

“Empat petugas iaitu pemandu, pembantu pemandu, penyelia kereta api dan pemeriksa tiket sudah digantung tugas buat sementara waktu, sepanjang tempoh siasatan.

“Kakitangan lain yang terbabit dalam insiden semalam turut dipanggil sebagai saksi.

“KTMB menganggap insiden ini tidak sepatutnya berlaku dan kita akan pastikan beberapa langkah akan diambil bagi memastikan ia tidak berulang pada masa akan datang,” katanya seperti dipetik portal tempatan hari ini.

Bagaimanapun tegas beliau, tindakan yang akan diambil nanti bergantung kepada penilaian panel terhadap kes itu.

Mohd Zain berkata, panel siasatan yang diwujudkan dalam insiden berkenaan adalah prosedur biasa bagi membantu menangani sesuatu insiden yang berlaku dalam KTMB, dan kejadian yang berlaku adalah kali pertama.

“Dalam insiden semalam, KTMB sekali lagi memohon maaf kepada semua warga Kuala Gris dan pelajar sekolah terutamanya kepada ibu bapa serta pihak SMK Dabong selain penduduk di kawasan sekitar atas kejadian yang berlaku semalam,” katanya.

Semalam keterujaan 100 pelajar SMK Dabong untuk ke sekolah pada hari pertama penggal ketiga 2021/2022 lebur dan mereka terpaksa ponteng sekolah berikutan kereta api yang sepatutnya mereka naiki tidak berhenti di Hentian Kuala Gris.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button