Berita Utama

Tangguh kebenaran umrah keputusan selektif: MUIS

Kerajaan patut perjelas tahap risiko jangkitan bagi individu lengkap vaksin

BANGI, 7 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Majlis Ulama ISMA (MUIS) menyifatkan tindakan kerajaan menangguhkan kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari lalu, sebagai keputusan yang selektif dan tidak wajar.

Walhal, kebenaran merentas negara selain daripada perjalanan umrah, bahkan urusan-urusan lain masih berjalan seperti biasa.

Setiausaha Kerja MUIS, Ustaz Muhammad Hafizuddin Jamil berkata, penangguhan urusan ibadah tanpa sebab kukuh bukanlah suatu pengurusan yang baik.

“Kerajaan perlu menjelaskan tahap risiko sebenar jangkitan ke atas mereka yang telah lengkap divaksin.

“Ini kerana jika vaksin terbukti menyumbang kepada penurunan kes kemasukan hospital, sekali gus mengurangkan risiko kematian akibat jangkita COVID-19, maka tiada lagi sebab munasabah untuk menghalang urusan-urusan kehidupan termasuk menunaikan ibadah umrah atas alasan mengekang jangkitan COVID-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan perlu mengemukakan langkah-langkah yang lebih menjamin maslahah dan memudahkan urusan rakyat dalam beribadah.

Pada 1 Januari lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan keputusan penangguhan sementara perjalanan umrah berkuat kuasa 8 Januari, bagi mengurangkan risiko penularan varian Omicron dan memperlahan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perhimpunan berskala besar membabitkan jemaah dari pelbagai negara ketika di Arab Saudi mendedahkan kepada risiko tinggi mendapat jangkitan COVID-19 termasuk varian Omicron.

Malah, kegagalan jemaah umrah yang pulang ke Malaysia mematuhi arahan kuarantin juga menyebabkan berlakunya penularan jangkitan dalam ahli keluarga.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button