Berita Utama

Tiada stok vaksin luput dibekalkan kepada PSV, PPV

KKM sentiasa pantau bekalan, tarikh luput vaksin guna VMS

BANGI, 7 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan tiada stok vaksin yang luput dibekalkan kepada Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Penjelasan itu dibuat KKM susulan merujuk kepada beberapa muat naik dan video yang ditularkan di media sosial berkenaan dakwaan vaksin COVID-19 yang diberikan kepada penerima telah atau hampir luput.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Norhaliza A Halim berkata, KKM memantau secara berterusan bekalan dan tarikh luput vaksin COVID-19 yang diterima oleh PSV dan PPV dengan mengguna pakai Sistem Pengurusan Vaksin (VMS), selain sistem inventori sedia ada yang terdapat di fasiliti dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Sebagai makluman, penentuan jangka hayat produk farmaseutikal termasuk vaksin COVID-19 ditetapkan berdasarkan ujian kestabilan produk vaksin yang dijalankan oleh pihak pengilang.

“Ujian tersebut dijalankan pada masa nyata untuk suhu penyimpanan yang tertentu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, vaksin COVID-19 telah dibangunkan dalam jangka masa yang singkat – kurang daripada dua tahun – sebagai tindak balas kepada wabak berkenaan berbanding tempoh pembangunan biasa sesuatu produk farmaseutikal.

Oleh itu, katanya, tempoh ujian dijalankan untuk menentukan jangka hayat vaksin adalah terhad.

“Pihak pengilang hanya dibenarkan untuk meletakkan tarikh luput berdasarkan tempoh kestabilan vaksin itu telah diuji pada masa nyata dan bukan secara ekstrapolasi.

“Sekiranya pengilang mempunyai data tambahan setelah ujian lanjut dijalankan, permohonan pelanjutan jangka hayat vaksin akan dikemukakan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk dinilai,” katanya.

Norhaliza berkata, pelanjutan tempoh jangka hayat produk vaksin berkenaan hanya akan diluluskan setelah hasil penilaian dapat mengesahkan ia memenuhi keperluan regulatori.

“Malah, ini juga terpakai kepada semua produk farmaseutikal lain yang sedia berdaftar.

“Selain itu, tempoh jangka hayat produk vaksin COVID-19 juga akan berubah sekiranya terdapat perubahan kepada suhu penyimpanan,” katanya.

Oleh demikian, tarikh luput baharu akan diberikan kepada produk berkenaan dan ia masih selamat untuk diadministrasi selagi mana belum melangkaui tarikh luput baharu.

“Sebagai maklumat tambahan, NPRA telah meluluskan permohonan pelanjutan jangka hayat bagi vaksin Comirnaty (daripada 6 bulan kepada 9 bulan), vaksin CoronaVac yang dikilangkan oleh Sinovac, China (daripada sembilan bulan kepada 12 bulan) dan vaksin CoronaVac yang dikilangkan oleh Pharmaniaga Lifescience, Malaysia (daripada enam bulan kepada 12 bulan).

“Senarai nombor kelompok yang terlibat dengan pelanjutan jangka hayat vaksin telah dimaklumkan kepada semua fasiliti kesihatan dan juga melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh KKM pada 16 November 2021,” katanya.

Beliau berkata, NPRA juga telah meluluskan pelanjutan tempoh jangka hayat bagi produk vaksin Convidecia daripada enam bulan kepada 12 bulan pada 17 Disember 2021.

“KKM sentiasa komited untuk memastikan semua produk farmaseutikal termasuk vaksin COVID-19 yang dibekalkan kepada penduduk Malaysia telah dinilai dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA dan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

“Penilaian manfaat-risiko bagi vaksin COVID-19 yang diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat dilaksanakan secara berterusan berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button