Berita Utama

Tiga ADUN Perak sertai PBM, kerajaan negeri kekal

ADUN tersebut tak tarik sokongan kepada kerajaan, hanya tukar parti

IPOH, 7 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang baru dilancarkan pada 21 Disember lepas, tidak memberi kesan kepada kestabilan kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ini kerana ketiga-tiga ADUN tersebut tidak menarik sokongan kepada kerajaan negeri dan hanya bertukar parti.

“Selagi kerajaan ada kerusi yang mencukupi, tidak ada apa kesan sebab sekarang kita ada 36 kerusi yang menyokong kerajaan sedia ada. Tiga ADUN itu mengatakan mereka hanya tukar parti dan tidak menarik sokongan pada kerajaan negeri jadi ia tidak memberi apa-apa kesan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan projek pecah tanah kerja naik taraf Jalan Tambun di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Tiga wakil rakyat yang menyertai PBM ialah ADUN Buntong A. Sivasubramaniam; ADUN Tronoh Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Malim Nawar Leong Cheok Keng.

Leong dilaporkan berkata ketiga-tiga mereka menyokong kerajaan pimpinan Menteri Besar, selaras dengan keputusan Presiden PBM Larry Sng bahawa parti itu di peringkat Persekutuan menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada pemilihan parti yang berlangsung pada Sabtu lepas, Sivasubramaniam dipilih sebagai Naib Presiden Kanan 2 manakala Yong dilantik sebagai Bendahari Agung PBM.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata beliau telah cuba menghubungi Sivasubramaniam dan Yong yang sebelum ini merupakan ahli bersekutu Bersatu untuk mengesahkan mengenai perkara itu namun gagal.

“Saya sudah hantar mesej untuk bertanyakan kepada mereka berdua tetapi belum berjawab jadi saya tidak dapat berikan kepastian, tetapi tidak mengapa kerana saya lihat kerajaan negeri Perak masih utuh dan itu yang paling penting.

“Saya percaya Menteri Besar bagi fokus pada masalah rakyat dan itu yang kami akan bantu serta beri sokongan penuh kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan beliau dan kami yakin bahawa pentadbiran sekarang berjalan dengan amat baik,” katanya.

Saarani ketika ini memiliki sokongan 36 ADUN dengan BN mempunyai 25 kerusi diikuti Bersatu sebanyak empat kerusi, PAS tiga kerusi, PBM tiga kerusi dan bebas satu kerusi.

DUN Perak mengandungi 59 ahli keseluruhan dan memerlukan 30 kerusi untuk majoriti mudah.

Terdahulu, Saarani berkata projek kolaborasi bagi menaik taraf Jalan Tambun antara Majlis Bandaraya Ipoh dan Sunway City Ipoh Sdn Bhd sepanjang 5.2 kilometer itu melibatkan kos sebanyak RM16.35 juta bermula 1 April lepas dan dijangka siap sepenuhnya pada September depan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button