Dunia

Varian baharu Deltacron pula dikesan?

Saintis dakwa strain hasil gabungan daripada Delta-Omicron

CYPRUS, 7 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Belum reda dunia berdepan varian Omicron, muncul pula satu lagi strain baharu COVID-19 yang dikenali sebagai ‘Deltacron’ yang didakwa ditemukan di Cyprus.

Menurut Profesor Sains Biologi Universiti Cyprus, Leondis Kostrikis, strain baharu itu muncul hasil gabungan daripada varian Delta dan Omicron. 

Penemuan itu dinamakan sebagai ‘Deltacron’ kerana mengenal pasti tanda genetik seperti Omicron dalam genom Delta, katanya.

“Pada masa ini terdapat jangkitan antara Omicron dan Delta dan kami mendapati strain ini merupakan gabungan kedua-dua varian,” dakwanya dalam temu bual di Sigma TV.

Kostrikis mendakwa, beliau bersama pasukannya telah mengenal pasti 25 kes dan analisis statistik menunjukkan bahawa kekerapan relatif gabungan jangkitan adalah lebih tinggi dalam kalangan pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat COVID-19 berbanding pesakit tidak dirawat di hospital.

Jujukan 25 kes Deltacron itu telah dihantar ke GISAID – pangkalan data antarabangsa yang menjejaki perubahan dalam virus – pada 7 Januari lalu.

“Kita akan lihat jika strain ini lebih patalogi atau lebih menular atau akan mengatasi Delta dan Omicron. Namun, kita jangka strain ini akan menggantikan Omicron sebagai varian yang mudah merebak,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button