Berita Utama

Guna aplikasi FMRS pantau lokasi berisiko gelinciran tanah

Kenal pasti kawasan yang perlu dipasang sistem amaran

BANGI, 8 Jamadilakhir 1443H, Selasa –Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) akan memantau dan mengenal pasti kawasan berisiko berlakunya insiden lambakan kayu hanyut, gelinciran tanah dan kejadian kepala air.

Langkah itu dilaksanakan dengan kerjasama jabatan perhutanan negeri ekoran hujan lebat dan banjir besar yang direkodkan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, JPSM akan mengguna pakai aplikasi sistem ‘Forest Monitoring Using Remote System’ (FMRS), termasuk penggunaan dron bagi tujuan penguatkuasaan.

Ia juga termasuk pemantauan dan pengesanan perubahan litupan kawasan hutan secara waktu sebenar, katanya.

“Saya juga mengarahkan JPSM untuk mengemukakan laporan terbabit dan langkah mitigasi yang boleh dilaksanakan dalam tempoh sebulan.

”Pada masa sama, JPSM turut diminta kenal pasti kawasan Taman Eko Rimba dan hutan lipur yang belum dipasang sistem amaran awal untuk pemasangan segera bagi memastikan kawasan itu selamat kepada penduduk setempat dan serta awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tegas Takiyuddin, dasar kerajaan Persekutuan dalam sektor pengurusan perhutanan adalah jelas iaitu berasaskan amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan.

Dasar itu katanya, merangkumi pelaksanaan sistem tebangan memilih atau ‘Selective Management System’ (SMS) sejak 1978, Catuan Tebangan Tahunan (CTT) 1981 dan persijilan pengurusan hutan berdasarkan ‘Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification’ (MC&I) 2012.

“Tadbir urus sektor perhutanan juga dikawal selia melalui Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] dan ordinan/enakmen perhutanan peringkat negeri,” katanya.

Malah, kerajaan turut memastikan pengawalan aktiviti pengusahasilan di hutan tanah kerajaan melalui Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia bertajuk ‘Panduan Amalan Baik Hutan (Good Forest Practices) untuk Pengusahasilan Kayu Kayan Tanah Kerajaan’ pada 2016.

“Ia juga sebagai rujukan utama kepada jabatan perhutanan negeri.

“Kementeriannya komited dalam memastikan kekayaan sumber asli terus dijaga, diuruskan dengan mampan dan digunakan secara bertanggungjawab.

“Saya minta pemegang taruh, termasuk kerajaan negeri selaku pengurus sumber asli di peringkat negeri bersama-sama kementerian memastikan dasar kerajaan Persekutuan dilaksana dan dipantau demi pembangunan negara mampan seterusnya masa depan generasi akan datang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button