Berita Utama

‘PdPR satu-satunya kaedah ketika negara berdepan pandemik’

Tak boleh jadi pengukur keberkesanan hasilkan modal insan seimbang

KUALA LUMPUR, 4 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Kaji selidik Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mendapati, 93 peratus guru memilih kaedah Proses Pengajaran dan Pembelajaran secara bersemuka walaupun mengakui berpuas hati dengan kerjasama diberikan ibu bapa bagi menjayakan PdP di rumah.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang yakin kemahiran guru mengendalikan PdPR semakin baik kerana sudah mempunyai pengalaman ketika pelaksanaan PKP tahun lalu.

“Diakui, guru berdepan cabaran dan kesukaran menjalankan PdPR bagi murid Tahun Satu kerana pelajar tidak pernah menjalani proses sedemikian sebelum ini.

“Bagaimanapun, kita tak boleh menolak PdPR kerana ia satu-satunya kaedah yang ada ketika negara berdepan pandemik COVID-19,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Mengulas lanjut, Aminuddin tidak menolak kemungkinan perkembangan pelajar terencat sekiranya hanya bergantung kepada PdPR.

Bagaimanapun katanya, ia tidak boleh menjadi pengukur bagi keberkesanan menghasilkan modal insan yang seimbang.

“Dalam hal ini tak boleh nak dibandingkan dan semua pihak mesti terima keadaan PdPR adalah berasaskan kepada kesediaan murid, selain objektif pengajaran guru terhad dan perlu dipelbagaikan mengikut kreativiti.

“Apabila keadaan kembali baik, mungkin guru boleh lakukan langkah lain untuk baik pulih masalah sepanjang pelaksanaan PdPR,” katanya.

Semalam, Kementerian Pendidikan menetapkan, hanya murid yang bakal menduduki peperiksaan penting hadir ke sekolah bermula 20 Januari ini, manakala sesi persekolahan secara bersemuka bagi murid selain kategori itu akan ditangguhkan.

Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Md Jidin berkata, ketetapan menangguh sesi persekolahan dibuat setelah berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button