Berita UtamaDunia

Thailand kesan virus African Swine Fever di pusat penyembelihan

Pasukan khas dihantar ke kawasan tersebut untuk mengesan punca penyakit

BANGKOK, 8 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Thailand hari ini mengumumkan kes pertama virus African Swine Fever (ASF) yang dikesan di pusat penyembelihan di wilayah Nakhon Pathom.

Ia pengesahan rasmi pertama negara mengenai penyakit itu.

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Ternakan Sorravis Thaneto berkata, satu daripada 309 sampel darah dan swab permukaan yang dikumpul dari 10 ladang dan dua pusat penyembelihan disahkan positif ASF.

“Jabatan Pembangunan Ternakan akan memaklumkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) mengenai penemuan ASF itu,” katanya.

Sorravis berkata, pasukan khas dihantar ke kawasan itu untuk mengesan punca penyakit itu.

Sebelum ini, Reuters melaporkan Thailand sudah bertahun-tahun menegaskan kawasan babinya tidak dijangkiti oleh ASF.

Laporan berita itu berkata, pihak berkuasa mengaitkan kebanyakan kematian babi ternakan berpunca daripada penyakit virus lain, Sindrom Reproduksi dan Pernafasan Porsin (PRRS).

Bagaimanapun, pada 8 Januari, Universiti Kasetsart di Bangkok berkata, makmalnya bulan lepas menemui ASF pada seekor babi peliharaan yang mati dan dibawa pemiliknya untuk ujian makmal.

Sementara itu, jurucakap kerajaan, Dr. Thanakorn Wangboonkongchana berkata, Kabinet hari ini meluluskan 574.11 juta baht untuk membayar pampasan kepada hampir 5,000 penternak di 56 wilayah yang ternakan babi mereka dilupuskan pada 2021 untuk mencegah penularan ASF.

Beliau berkata, hampir 160,000 ekor babi dilupuskan antara Mac dan Oktober lalu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button