Berita Utama

219 positif, 16 kluster babitkan jemaah umrah

Punca penularan disebabkan oleh aktiviti semasa umrah yang tidak patuh SOP

KUALA LUMPUR, 8 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Sebanyak 16 kluster COVID-19 melibatkan jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi telah dikesan bagi tempoh 25 November lepas hingga hari ini dengan tujuh kluster daripadanya melibatkan kes indeks disahkan varian Omicron.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, enam kluster melibatkan kes indeks Presumptive Omicron (berkemungkinan) yang sedang menunggu keputusan jujukan genom penuh (WGS), dan tiga kluster melibatkan kes indeks positif COVID-19 bukan varian Omicron.

Beliau berkata, punca penularan disebabkan oleh aktiviti semasa melaksanakan umrah yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana tiada amalan penjarakan fizikal, tiada kewajiban pemakaian pelitup muka, serta melibatkan jemaah umrah yang datang dari seluruh pelusuk dunia.

“Selain itu, semasa dikuarantin di rumah selepas pulang dari mengerjakan umrah, terdapat aktiviti yang tidak mematuhi SOP seperti adanya aktiviti kunjung-mengunjung, menziarahi jemaah atau keluarga yang baru pulang dari tanah suci, serta lain-lain lagi.

“Situasi peningkatan kes daripada kluster jemaah umrah yang dilaporkan ini dianggap serius dan membimbangkan kerana berlaku dalam tempoh masa yang singkat serta penularan daripada kes jangkitan import kepada keluarga berlaku dengan cepat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 456 individu dalam kluster jemaah umrah itu telah disaring dan didapati 219 kes positif yang menjadikan kadar positif sebanyak 48 peratus.

Jelasnya, kesemua 219 kes tersebut dalam kategori satu dan dua, dan sehingga kini tiada kes yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), serta tiada kematian yang dilaporkan daripada kluster jemaah umrah ini.

Sementara itu, beliau berkata, kumulatif kes sembuh COVID-19 di negara ini kini berjumlah 2,720,399 kes selepas 2,977 lagi kes sembuh direkodkan sehingga 12 tengah hari ini, manakala kes baharu pula sebanyak 3,175, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 kini 2,792,035.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, sebanyak 99 kes baharu varian yang membimbangkan (VOC) telah dilaporkan sejak 3 Jan lepas sehingga semalam dengan 91 kes baharu varian Delta dan lapan kes baharu varian Omicron. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button