Dunia

390 rakyat Palestin ditangkap kerana kandungan media sosial tahun lalu

Matlamat Israel untuk penjarakan sebilangan besar kanak-kanak, wanita

RAMALLAH, 8 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Sekurang-kurangnya 390 rakyat Palestin ditangkap pihak berkuasa Israel tahun lalu, kerana kononnya didakwa menyebarkan hasutan keganasan di media sosial, lapor Pusat Kajian Tahanan Palestin.

Jurucakap media pusat itu, Riyad Al-Ashqar berkata, 2021 menyaksikan peningkatan ketara dalam kempen penahanan Israel yang menyasarkan rakyat Palestin atas tuduhan berkaitan kandungan media sosial. 

Katanya, penangkapan rutin rejim Zionis terhadap warga Palestin kerana aktiviti media sosial adalah dasar hukuman yang digunakan sebagai penghalang oleh negara penjajahan. 

Riyad percaya matlamatnya adalah untuk memenjarakan sebilangan besar kanak-kanak, wanita dan golongan muda.

“(Israel) bukan hanya mengejar rakyat Palestin di lapangan, tetapi juga di dunia maya,” katanya. 

Beliau turut mendedahkan kes Omar Hashlamoun, 17, dari Baitulmaqdis yang ditangkap kerana catatan Facebooknya: “Saya tidak pasti kewujudan lama saya di dunia ini, tetapi saya berharap bahawa saya telah menanamkan diri saya kekal selamanya dalam setiap ingatan yang baik.”

Hanya beberapa minit selepas memuat naik hantaran tidak berbahaya itu, bapanya menerima panggilan daripada pegawai perisikan Israel yang mengatakan bahawa Omar akan disiasat.

Remaja itu kemudian disoal siasat kerana disyaki terbabit dalam ancaman keganasan dan dikenakan penyeksaan serta tekanan psikologi. 

Riyad berkata, pihak berkuasa pendudukan Israel telah menubuhkan unit khas dalam talian yang mengikuti siaran media sosial rakyat Palestin.

Bagi pasukan haram Israel, gambar para syahid dan berita mengenai serangan ke atas rakyat Palestin dilihat sebagai  kritikan kepada rejim pengganas itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button