Berita Utama

Banjir: Jumlah mangsa di PPS terus menurun

Ramai mangsa pulang ke rumah selepas air makin surut

KUALA LUMPUR, 8 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Situasi banjir di seluruh negara setakat pagi ini semakin pulih apabila jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin menurun di tiga negeri yang masih terjejas iaitu Johor, Melaka dan Pahang.

Di JOHOR, banjir semakin surut dan jumlah mangsa terus mencatatkan penurunan kepada 2,298 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 2,935 individu, petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata empat daerah masih terjejas banjir di negeri itu melibatkan 35 PPS dengan Muar mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 873 orang, diikuti Segamat (734), Tangkak (610) dan Batu Pahat (81).

“Dua PPS telah ditutup iaitu Balai Raya Padang Kiambang dan Kompleks Penghulu Mukim Pogoh di Segamat, berikutan semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan 66 mangsa daripada 15 keluarga masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan Temai di Pekan pagi ini.

Sementara itu, PPS terakhir di Rompin yang menempatkan 14 mangsa daripada empat keluarga menamatkan operasinya malam tadi apabila mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Jabatan Meteorologi turut meramalkan cuaca baik di daerah Pekan sepanjang hari ini.

Di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata mangsa banjir di Melaka kini berjumlah 124 orang daripada 36 keluarga pagi ini dan semuanya masih ditempatkan di tiga PPS di Jasin.

“Cuaca di seluruh negeri ketika ini dilaporkan cerah, namun penduduk di lokasi berhampiran Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar yang kekal mencatatkan paras bahaya, dinasihatkan agar sentiasa berwaspada,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button