Berita Utama

JPJ Negeri Sembilan akan mula saman penjaja jalanan

Bahayakan penjaja dan pembeli jika tidak dihentikan dari sekarang

SEREMBAN, 8 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menasihatkan peniaga buah-buahan supaya tidak berniaga di sepanjang jalan atau persimpangan lampu isyarat, dan akan mula mengeluarkan saman mulai sekarang.

Pengarah JPJ negeri, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pengguna jalan raya yang membeli barangan ini, termasuk jeruk buah-buahan atau apa-apa barangan lain daripada penjaja, juga akan dikenakan saman.

“Selama ini kita menasihatkan mereka supaya berhenti menjalankan perniagaan di sepanjang jalan atau persimpangan, dan sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan kerana kita masih mendapat banyak aduan daripada rakyat.

“Adalah menjadi harapan kami agar penjaja ini dapat berhubung dengan pihak berkuasa tempatan di mana mereka boleh beroperasi,” katanya dalam serbuan JPJ di persimpangan lampu isyarat di Jalan Rasah dekat sini.

Dalam serbuan itu, sembilan remaja ditahan dengan yang paling muda berusia 16 tahun. Bagaimanapun, mereka tidak dikenakan denda.

Hanif berkata, Kaedah 10A(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dengan jelas menetapkan bahawa tiada sesiapa dibenarkan menjual atau menawarkan untuk menjual apa-apa barang kepada individu yang menaiki kereta di sepanjang jalan atau simpang.

Kaedah 10A(2) juga menyatakan bahawa pemandu kenderaan juga tidak dibenarkan membelinya.

Pesalah boleh dipenjara sehingga RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan jika sabit kesalahan.

Hanif berkata, JPJ perlu tegas kerana tidak selamat bagi penjaja untuk berjalan di celah-celah lalu lintas terutama pada waktu puncak.

“Terdapat banyak bahaya tersembunyi di jalan raya dan akibatnya boleh menyedihkan, terutama apabila terdapat penunggang motosikal keluar masuk lalu lintas. Jadi, ini perlu dihentikan,” katanya.

Hanif berkata di Seremban, penjaja ini sering dilihat di persimpangan lampu isyarat di Senawang, Taman Sri Mawar, D’Cattleya, Giant Senawang, Pusat Dakwah Paroi, Jalan Dato’ Siamang Gagap, Sungai Ujong, Makam Haji Said dan Jalan Lingkaran Tengah berhampiran bangunan Majlis Bandaraya Seremban.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button