Berita Utama

Kewujudan vernakular strategi kolonial pecahkan kaum, hina Melayu

Ada pihak sedang bina negara dalam negara, kata Aminuddin

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 8 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya menyifatkan kewujudan sekolah vernakular di negara ini adalah strategi kolonial untuk memecahkan kaum dan menghina bangsa Melayu.

Malah, beliau turut menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes saman sekolah vernakular baru-baru ini sebagai penghinaan kepada negara, pemimpin, menteri pelajaran, bangsa Melayu dan bahasa kebangsaan.

Katanya, situasi yang berlaku di Malaysia ketika ini secara tanpa sedar sedang membina sebuah negara di dalam negara.

“Ada satu negara tetapi di dalamnya ada satu kelompok itu sedang membina pula satu negara. Kenapa saya sebut begitu, kerana pemikiran dan pendekatannya jauh berbeza.

“Malah kalau kita lihat sekolah vernakular yang di bawah Dong Zong lagi jauh berbeza. Jadi, adakah kita menuju kepada satu kolonial baru di masa hadapan, di mana negara kita akan dikawal pemikirannya oleh orang lain,” katanya dalam Webinar ‘Sekolah Vernakular Sah!’ di Facebook Dialetika, malam tadi.

Lebih membimbangkan, katanya lagi, apabila situasi ini membawa kepada pencairan identiti, dan membahayakan jika ia menjalar kepada pemikiran di dalam agama kononnya atas dasar terbuka serta toleransi.

“Itu yang kita tengok ada orang Islam, pelajar-pelajar mencuci kuil. Saya tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan mencuci tokong pula selepas ini.

“Satu tempat yang memang mensyirikkan Allah SWT tetapi diterima atas dasar toleransi dan sebagainya. Ini semua lahir daripada pendidikan,” katanya.

Bukan hanya penguasaan ekonomi ‘diragut’, tidak mustahil negara berdepan senario di mana pemimpinnya dikuasai oleh orang bukan Melayu dan Islam, katanya.

“Ini sudah mula diterima dan ia lahir daripada sistem pendidikan. Kalaulah pendidikan kita dari segi sejarah pun sudah dipersoalkan, apatah lagi dari segi bahasa.

“Kalau misalnya keputusan (kes cabar vernakular) ini kekal, bagi saya bakar sahaja Akta Bahasa Kebangsaan kerana tiada makna lagi,” katanya.

Aminuddin berkata, isu pendidikan vernakular ini akan menyebabkan impak jangka panjang kerana ia bukan hanya membabitkan sistem tetapi juga membawa kepada bentuk pemikiran.

“Kalau disebut ada 1,800 sekolah dan 500,000 pelajar, ini bukan bilangan sedikit. Malah, kita difahamkan di akhbar-akhbar, ramai pula orang Melayu yang masuk ke sekolah vernakular.

“Saya tiada masalah untuk belajar bahasa, tetapi aliran itu lain dan bahasa digunakan juga lain yang akan membentuk pemikiran,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button