Berita Utama

Murid sekolah rendah boleh lakukan ujian saringan COVID-19 di rumah

Pendekatan baharu akan mula dilaksanakan minggu ini

KUALA LUMPUR, 8 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Murid sekolah rendah akan dibenarkan melakukan ujian saringan kendiri COVID-19 di rumah bermula minggu ini, menurut Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, berdasarkan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM), para murid yang dipilih kemudiannya perlu mengemukakan hasil ujian saringan berkenaan kepada pihak sekolah.

“Kit ujian akan disediakan oleh pihak sekolah. Pendekatan baharu ini akan mula dilaksanakan pada minggu ini dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan keluarkan kenyataan media untuk menjelaskan perkara itu,” katanya menerusi video yang dimuat naik di akaun Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan yang dikeluarkan KKM sebelum ini, 10 peratus murid sekolah rendah dipilih secara rawak setiap minggu untuk menjalani ujian kendiri COVID-19 yang dilaksanakan di sekolah mulai 1 Dis tahun lepas.

Pelaksanaan ujian kendiri itu hanya melibatkan penggunaan kit ujian air liur yang dibekalkan oleh KPM dan dibuat dengan pemantauan guru.

Mengulas lanjut, Radzi berkata pelaksanaan pendekatan baharu ini memerlukan ibu bapa berperanan memastikan ujian saringan COVID-19 dilaksana dengan teratur dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KKM supaya sesi persekolahan dapat berlangsung dengan selamat.

“Jika ia tidak dilaksana mengikut tatacara yang ditetapkan, yang akan terkesan bukan sahaja anak saudara-saudari tetapi kawan-kawan serta guru mereka di sekolah,” katanya dalam video berdurasi lebih dua minit itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button