Berita Utama

Paling kurang 5 tahun kerajaan mesti selesaikan isu tanah rizab Melayu

PEMBELA bentuk jawatankuasa khas mantapkan lagi pengetahuan berkaitan tanah

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 8 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengakui bukan tindakan mudah untuk menyelesaikan isu tanah rizab Melayu, tetapi kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk memartabatkannya.

Usaha keras dan kerjasama padu daripada pelbagai pihak juga sangat penting demi memperkasakan tanah rizab dan kepentingan orang Melayu.

Atas dasar itu, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya menyasarkan sekurang-kurangnya lima tahun untuk pihak berkuasa menyelesaikan sepenuhnya isu tanah rizab Melayu.

“Kita memahami banyak kekangan dari pihak kerajaan untuk menyelesaikan permasalahan ini.

“Namun kita yakin tempoh lima tahun akan datang isu tanah rizab Melayu berjaya diselesaikan dengan sempurna dan beberapa pembaharuan perlu dilaksanakan demi kepentingan orang Melayu.

“Bahkan, pencabulan yang berlaku terhadap tanah rizab Melayu dapat diselamatkan demi kepentingan masa depan negara dan anak bangsa,”katanya.

Haji Aminuddin menjelaskan, buat masa ini pihaknya bekerjasama dengan beberapa NGO Melayu membentuk jawatankuasa khas untuk terus melindungi tanah rizab Melayu daripada terus terhakis.

Pihaknya kini sedang membentuk beberapa strategi utuh dalam beberapa perkara termasuk memantapkan lagi ilmu pengetahuan mengenai tanah, data dan maklumat lain.

Terdahulu, Konvenyen Tanah Melayu 2022 PEMBELA mengemukakan resolusi bagi menyelesaikan isu tanah rizab Melayu yang semakin terhakis.

Antaranya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang terdiri daripada pakar undang-undang dan ekonomi tanah untuk menyelamatkan tanah rizab.

Selain itu, membentuk bank data untuk menyiasat punca dan data sebenar tanah rizab Melayu yang telah diambil tanpa diganti, selain saiz tanah rizab yang masih ada atau yang tergadai secara tidak wajar atau dikuasai pihak tidak berhak di bawah Perlembagaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button