Berita UtamaDunia

PBB rayu perlukan AS$5 bilion bantu Afghanistan

Selamatkan rakyat yang berterusan dibelenggu krisis kemanusiaan kritikal

GENEVA, 8 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merayu bantuan sebanyak AS$5 bilion bagi membantu rakyat Afghanistan daripada terus dibelenggu krisis kemanusiaan yang terlalu mendesak.

Menerusi rayuan dilancarkan, sebanyak AS$4.4 bilion diperlukan rakyat Afghanistan selain AS$623 juta lagi untuk menampung jutaan rakyat yang mendapat perlindungan di sempadan negara.

Ketua Bantuan PBB, Martin Griffiths berkata, dana sebanyak AS$4.4 bilion diperuntukkan untuk Pelan Tindak Balas Kemanusiaan Afghanistan bagi membayar terus kepada kumpulan pekerja kesihatan dan lain-lain, manakala AS$623 juta pula akan digunakan untuk Pelan Tindak Balas Pelarian.

“Hari ini kami melancarkan rayuan untuk Afghanistan dan ini merupakan rayuan paling besar bagi sebuah negara yang menghadapi kemanusiaan,” katanya.

Griffiths berkata, dana yang diperlukan juga untuk membantu ekonomi negara yang dilanda krisis sekali gus membolehkan agensi kemanusiaan lain beroperasi di negara berkenaan.

“Agensi kemanusian boleh beroperasi sekiranya negara mempunyai aliran tunai mencukupi bagi membolehkan gaji kakitangan dibayar selain digunakan untuk keperluan lain.

“Tanpa bantuan kemanusiaan, kesusahan, kematian, kelaparan dan perpindahan secara besar-besaran akan menyusul di negara yang dilanda krisis kemanusiaan sejak puluhan tahun,” katanya.

Sejak Taliban menguasai Afghanistan, Ogos tahun lalu, negara itu terjerumus ke dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil, dengan inflasi dan pengangguran yang melonjak.

Malah, Amerika Syarikat turut membekukan berbilion dolar aset negara itu, manakala banyak bekalan bantuan terganggu.

Dianggarkan 4.7 juta orang akan mengalami kekurangan zat makanan akut pada 2022, termasuk 1.1 juta kanak-kanak dengan kekurangan zat makanan akut yang teruk. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button