Berita Utama

Rasuah: Perlu ada agensi khas nilai individu sebelum dilantik jawatan penting

Adakan kursus asas keagamaan dan silibus berkaitan integriti

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 8 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Sudah tiba masanya jawatankuasa khas dibentuk bagi menilai dan memantau individu-individu yang bakal dilantik ke jawatan utama sebelum menerima tanggungjawab.

Tindakan itu penting supaya individu yang dilantik bukan sahaja memenuhi kriteria yang diperlukan tetapi mempunyai integriti yang tinggi.

Naib Presiden BERJASA, Haji Samad Ashaari berkata, saringan secara terperinci perlu dilakukan badan khas terbabit dengan mengesahkan individu yang bakal dilantik tiada rekod buruk termasuk isu rasuah.

“Perlu selidik dan pantau keseluruhan bukan sekadar melihat kecemerlangan rekod prestasi semata-mata.

“Selama ini, pelantikan jawatan-jawatan utama hanya dibuat berdasarkan kecemerlangan rekod prestasi dan juga berdasarkan senioriti sahaja tetapi soal keagamaan tidak diberikan perhatian,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas isu rasuah yang kini seolah-olah menjadi ‘budaya’, beliau percaya ia berlaku kerana sikap tamak dan kurang integriti, selain pegangan agama yang lemah.

Katanya, kelemahan iman juga mendorong seseorang itu melakukan rasuah dan menganggap perkara berkenaan sebagai sesuatu yang remeh.

Justeru, beliau mencadangkan supaya diadakan kursus asas keagamaan dan silibus berkaitan integriti kepada pemimpin dan ahli politik negara.

Beliau berpandangan, langkah tersebut diyakini sebagai ‘peringatan awal’ supaya tidak terdedah kepada amalan yang tidak bertanggungjawab.

“Kita selarikan kriteria keagamaan dan kecemerlangan rekod prestasi supaya mampu mengawal mereka daripada terlibat dengan rasuah.

“Selama ini mungkin tiada siapa yang berani menegur, tetapi melalui kursus yang disediakan oleh badan khas, mungkin boleh dijadikan ‘penggera’ dalam menjalankan perkhidmatan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button