Berita Utama

Tiada PKP namun bersedia ambil langkah lebih ketat

Ia termasuk sekat pergerakan luar dan masuk negara

KUALA LUMPUR, 8 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Kerajaan mungkin mengambil langkah lebih ketat bagi mengekang penularan varian Omicron, namun tidak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) besar-besaran seperti sebelum ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan untuk tidak melaksanakan PKP adalah inisiatif dan usaha persiapan untuk memasuki transisi ke fasa endemik.

Bagaimanapun, pengumuman peralihan kepada fasa itu terpaksa ditangguhkan berikutan kerajaan sedang memantau penularan varian Omicron serta situasi banjir yang menjejaskan beberapa buah negeri baru-baru ini.

“Mengambil kira pembetangan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, setakat ini 245 kes varian Omicron telah disahkan dan sebahagian besar berpunca daripada kepulangan pengembara dari luar negara.

“Kerajaan tidak menolak untuk mengambil langkah lebih ketat termasuk menyekat pergerakan keluar dan masuk jika negara berkenaan didapati berisiko tinggi,” katanya pada sidang akhbar khas sempena Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 di Wisma Pertahanan, hari ini.

Beliau berkata, sebilangan besar jangkitan ini adalah daripada mereka yang pulang dari luar negara.

“Buat masa ini, varian Omicron dilihat tidak memberi kesan serius kepada mereka yang dijangkiti tetapi kadar jangkitannya adalah ekstrem.

“Selagi ia tidak memberi tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan kita, terutamanya unit rawatan rapi, saya rasa ini tidak merisaukan,” katanya.

Menteri Pertahanan juga berkata, prosedur operasi standard (SOP) sambutan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina akan diumumkan tidak lama lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button