Berita Utama

‘Unboxing isteri’ boleh bawa keruntuhan institusi keluarga

Semua pihak diminta proaktif promosi nilai keluarga Islam

BANGI, 9 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Trend ‘unboxing isteri’ – yang menjadi ikutan pasangan pengantin baharu terutamanya di kalangan wanita bertudung baru-baru ini – boleh membawa kepada keruntuhan institusi keluarga.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary menegaskan pandangan itu berkata, ia kerana membabitkan bakal ibu bapa sebagai tonggak institusi keluarga, yang dilihat bertindak tidak mengikut landasan nilai betul apatah lagi mahu memupuk nilai moral anak-anak.

“Masyarakat hari ini hidup di zaman bercampur baur antara perkara yang halal dan haram.

“Hal ini bukan perkara yang pelik melihat kepada bagaimana media sosial dioptimumkan sepenuhnya untuk mengumpul kekayaan melalui populariti dan ramainya jumlah ‘follower’.

“Sedikit sebanyak tempias ini turut menjejaskan nilai-nilai dalam sebuah institusi keluarga Islam. Pasangan suami isteri tidak lagi menghiraukan maruah, sehingga sanggup mendedahkan aib pasangan demi sebuah ‘content’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan memandang berat peranan keluarga sebagai sebuah institusi pencorak masyarakat, Ahmad Marzuk berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengambil inisiatif memperkenalkan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) 2019–2025.

Katanya, pelan itu diperkenalkan bagi menangani gejala sosial dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Antara langkah diperkenalkan melalui pelan itu ialah penetapan agar setiap agensi bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mesti memanfaat dan mengoptimumkan penggunaan media massa serta media sosial bagi mempromosikan nilai murni dalam institusi kekeluargaan Islam.

“Perancangan pihak kerajaan ini juga sangat memerlukan kerjasama holistik daripada semua lapisan masyarakat bagi membendung gejala sosial yang melanda umat Islam kini.

“Justeru selain menjelaskan hukum Islam yang melarang trend ‘unboxing isteri’ ini, saya menyeru agar semua pihak yang berperanan turut mengambil tindakan proaktif dengan mempromosikan nilai keluarga Islam, terutama dalam saluran media baharu yang ada,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button