Berita UtamaDunia

Gabenor Bank Pusat Lubnan dikenakan larangan perjalanan

Riad Salameh disiasat atas dakwaan salah laku kewangan

BEIRUT, 9 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Gabenor Bank Pusat, Riad Salameh – antara pegawai tertinggi Lubnan yang dipersalahkan secara meluas atas krisis kewangan yang belum pernah terjadi sebelumnya di Lubnan, dilarang keluar negara. 

Hakim Ghada Aoun pada hari Selasa mengenakan larangan perjalanan terhadap Riad.

Ghada berkata, beliau telah mengenakan larangan itu sebagai sebahagian daripada penyiasatan Lubnan terhadap Riad, yang perkhidmatannya sebagai Gabenor Bank Pusat negara telah mendapat perhatian luar dan dalam negara sejak krisis meletus pada 2019.

Pendakwa Raya Lubnan berkata, peringkat seterusnya dalam siasatan itu adalah menyoal siasat gabenor.

Sumber kehakiman memberitahu, larangan perjalanan adalah menurut tuntutan mahkamah yang difailkan oleh kumpulan aktivis terhadap Riad atas dakwaan salah laku kewangan.

Siasatan termasuk menyiasat dakwaan penipuan dan aduan mengenai gabenor oleh pendeposit Lubnan selain melihat operasi ‘kejuruteraan kewangan’ bank pusat.  

Sumber memaklumkan, Hakim Ghada telah memanggil Riad untuk disoal siasat berhubung kes itu tetapi tarikh sebenar sesi itu masih belum didedahkan secara terbuka.

Riad juga menghadapi penyiasatan kehakiman di Perancis, Switzerland dan negara Eropah lain kerana disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram dan dakwaan lain.

Riad bagaimanapun menafikan salah laku selama tiga dekad sebagai Gabenor Bank Pusat Lubnan.

Ekonomi Lubnan berada dalam keadaan teruk sejak bekas Perdana Menteri, Saad Hariri mengumumkan peletakan jawatan dan Kabinetnya pada Oktober 2019. 

Paun Lubnan terus menjunam berbanding dolar AS, kehilangan 90 peratus nilainya dalam hanya dua tahun manakala sumber mata wang asing telah kering.

Krisis ekonomi dan kewangan kebanyakannya berpunca daripada sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya terhadap Lubnan serta campur tangan asing dalam hal ehwal dalam negeri negara Arab itu.  

Krisis semasa adalah isu paling serius yang mengancam kestabilan negara sejak perang saudara 15 tahun berakhir pada 1990. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button