Berita UtamaDunia

Hukuman penjara Suu Kyi tambah empat tahun lagi

Mahkamah tentera sabitkannya atas tiga pertuduhan jenayah

NAYPYIDAW, 9 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi dijatuhi hukuman penjara empat tahun lagi, selepas mahkamah tentera mensabitkannya atas tiga pertuduhan jenayah.

Suu Kyi telah ditahan sejak Februari tahun lalu, apabila kerajaannya dipaksa keluar dalam rampasan kuasa tentera. 

Dia telah ditahan tanpa komunikasi di sebuah rumah di ibu negara, Naypyidaw.

Mahkamah Junta pada hari Isnin mendapati pemimpin berusia 76 tahun itu bersalah atas dua pertuduhan berkaitan mengimport secara haram dan memiliki ‘walkie-talkie’ serta melanggar sekatan coronavirus, menurut seorang pegawai undang-undang.

Dia telah dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun setakat ini, dan banyak lagi pertuduhan tertangguh terhadapnya.

Jurucakap Junta, Mejar Jeneral Zaw Min Tun mengesahkan keputusan dan hukuman itu. 

Dia memberitahu AFP bahawa Suu Kyi akan kekal di bawah tahanan rumah manakala kes lain terhadapnya diteruskan.

Amerika Syarikat mengecam apa yang disebutnya sebagai ‘penahanan, sabitan dan hukuman yang tidak adil’ terhadap Suu Kyi, yang didakwa sebagai menghina keadilan dan kedaulatan undang-undang.

“Kami menyeru rejim supaya segera membebaskan Aung San Suu Kyi dan semua mereka yang ditahan secara tidak adil, termasuk pemimpin lain yang dipilih secara demokrasi,” kata jurucakap Jabatan Negara Ned Price.

Hukuman terbaharu menyaksikan pertambahan hukuman yang dijatuhkan mahkamah pada Disember, apabila Suu Kyi dipenjarakan selama empat tahun kerana menghasut dan melanggar peraturan coronavirus ketika berkempen.  

Ketua Junta Min Aung Hlaing mengurangkan hukuman kepada dua tahun ketika itu, dengan berkata, dia boleh menjalani tempoh hukuman di bawah tahanan rumah di Naypyidaw.

Jumlah hukuman penjara enam tahun bermakna bekas pemimpin Myanmar tersebut tidak akan dapat menyertai pilihan raya baharu yang dijanjikan pihak berkuasa tentera pada tahun depan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button