Berita Utama

Iktiraf Taliban, Malaysia tunggu keputusan organisasi antarabangsa

Malaysia belum buat keputusan, ambil pendekatan berhati-hati

PUTRAJAYA, 9 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Kerajaan Malaysia sedia membuat keputusan berkaitan pengiktirafan terhadap kerajaan Taliban di Afghanistan sekiranya organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyatakan pendirian berhubung perkara itu.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata setakat ini Malaysia belum membuat sebarang keputusan dan mengambil pendekatan berhati-hati berhubung perkara berkenaan.

“Buat masa ini belum ada proses untuk mengiktiraf (kerajaan Taliban) dan kita tidak terburu-buru,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu 2022 Kementerian Luar (Wisma Putra), di sini, hari ini.

Mengenai bantuan kemanusiaan ke Afghanistan, Saifuddin berkata Malaysia sebelum ini sudah berikrar memberikan US$100,000 kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk tujuan itu.

Selain itu, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia juga telah menghulurkan bantuan kepada Afghanistan, antaranya Global Peace Mission Malaysia (GPM) yang merupakan antara NGO terawal masuk ke negara itu selepas pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dari Kabul.

Taliban mengambil alih pentadbiran Afghanistan pada Ogos, menamatkan kehadiran tentera AS serta NATO selama bertahun-tahun selain menyaksikan pengunduran Presiden Ashraf Ghani.

Dalam pada itu, Saifuddin dalam amanatnya menyarankan Wisma Putra untuk turut memberi perhatian kepada negara-negara sedang berkembang (emerging countries) atau ekonomi baharu dan tidak begitu terkesan dengan pandemik COVID-19.

Antaranya negara-negara bekas Soviet dan sekitar Laut Caspian.

“Jika terdapat sesuatu yang ada kepentingan kepada negara dan ekonomi boleh kita cadangkan. Contohnya Bangladesh, ramai orang kita anggap ia negara mundur tetapi mereka sebenarnya sudah jadi negara sedang membangun.

“Ada juga beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang sedang melihat kepada negara-negara bekas Soviet dan Laut Caspian serta negara-negara kecil yang kita tak pandang begitu penting tetapi mereka (GLC) nampak masa depan negara berkenaan,” katanya.

Mengenai Kerangka Dasar Luar Negeri yang dilancarkan pada Disember lepas, Saifuddin berkata pelaksanaan kerangka itu pada tahun ini akan dibuat dengan kerjasama kementerian lain.

“Di peringkat pegawai sudah ada perbincangan contohnya berkaitan diplomasi budaya dengan tiga hingga empat kementerian lain. Perbincangan awal untuk dapatkan cadangan dan maklumat balas,” katanya.

Pada tahun ini Wisma Putra juga akan mengadakan persidangan ketua-ketua perwakilan Malaysia untuk berkongsi kerangka berkenaan dan perdana menteri dijangka menyampaikan amanat berkaitan perkara-perkara yang sedang dilaksanakan kerajaan, kata Saifuddin. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button