Jet F-16V Taiwan terhempas di Dongshi
Sebelum ini diisytihar jet paling canggih, harga belian AS$62 bilion

TAIPEI, 9 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Sepatutnya jet F-16V buatan Amerika Syarikat (AS) digunakan secara rasmi oleh pasukan tentera Republik China sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan.
Namun, hanya beberapa minggu selepas menjalani latihan, jet berkenaan berdepan detik menyedihkan apabila disahkan terhempas.
Menurut Pusat Perintah Penyelamat, pasukan khas diwujudkan bagi mencari juruterbang yang masih hilang, selain terpaksa menggantungkan semua latihan.
Jet F-16 yang mempunyai nombor siri 6650 itu direka khas dengan satu tempat duduk itu dilaporkan terhempas pada jam 3.26 petang semalam di laut Dongshi, kira-kira 1.45 batu dari Pangkalan Udara Chiayi, barat Taiwan.
Jet pejuang tersebut dikatakan berlepas dari pangkalan kira-kira 30 minit sebelum tragedi ketika juruterbang melakukan latihan di kawasan pantai Shuixi.
Sebelum ini, jet F-16V dilihat melewati ruang udara Taiwan sekali gus menunjukkan persediaannya jika terbabit dalam sebarang senario.
Namun, belum lagi beraksi di lokasi sebenar, jet yang diisytiharkan paling canggih di negara itu karam.
Malah latihan persiapan yang dilakukan jelas menunjukkan kesediaan Taiwan dalam sebarang peperangan menjelang Sambutan Tahun Baharu Cina, hujung bulan ini.
Jet F-16V tersebut dibeli Taiwan dengan harga AS$62 bilion (RM260 bilion) keluaran Lockheed Martin, Ogos 2020. – Agensi