Berita Utama

Kerajaan Kelantan nafi pembalakan punca harimau berkeliaran di Gua Musang

Kejadian harimau masuk kampung bukan pertama kali berlaku

KOTA BHARU, 9 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Kerajaan negeri Kelantan menafikan harimau berkeliaran di penempatan Orang Asli di Gua Musang sejak beberapa hari lepas berpunca daripada aktiviti pembalakan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berkaitan untuk mengkaji dan melakukan penyiasatan tentang punca sebenar mamalia itu keluar daripada habitat asal.

Beliau berkata, kejadian harimau memasuki kampung di negeri itu bukan pertama kali berlaku sebaliknya sebelum ini sudah ada kes direkodkan seperti berlaku di daerah Jeli namun kejadian itu tidak ‘dilabelkan’ berpunca daripada pembalakan.

“Kejadian ini membabitkan satu kes, kalau banyak mungkin betul (disebabkan pembalakan) dan ia kes terpencil. Jangan sebab seorang mati diterkam harimau, kita letak semua kesalahan disebabkan penebangan hutan, kecuali ada tiga empat ekor harimau yang keluar masuk kampung dan makan orang, itu adalah serius.

“Mahu siasat dan mencari sebab berlaku itu bagus, tetapi jangan cepat buat kesimpulan seolahnya sebab pembalakan menyebabkan harimau itu keluar, bagi saya itu tidak betul,” katanya kepada pemberita selepas hadir mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Amar diminta mengulas mengenai dakwaan Wakil Orang Asli Temiar, Nasir Dollah, 32, mengenai tiga ekor harimau yang berkeliaran di kampung-kampung di kawasan pentadbiran Pos Bihai berlaku disebabkan tindakan Kerajaan Kelantan yang telah meluluskan ribuan kawasan hutan untuk tujuan pembalakan dan sebagainya.

Media semalam melaporkan Nasir turut menyerahkan memorandum di Pejabat Perdana Menteri yang menggesa kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian untuk menghentikan segera kegiatan pembalakan yang didakwa menjadi punca ekosistem haiwan liar itu terganggu.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, harimau keluar dari kawasan habitat berkemungkinan disebabkan beberapa faktor lain termasuk usia mamalia itu sendiri yang sudah tua.

“Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ada memberitahu kadang-kadang apabila harimau sudah tua ia tidak mampu nak mengejar haiwan sebagai mangsa, jadi yang paling mudah adalah manusia sebab manusia lari pun tidak laju bukan seperti haiwan.

“Setakat ini Perhilitan sedang bergerak menjalankan tugas mereka dan mengesan hidupan liar itu. Mengikut maklumat diperolehi ada tiga ekor harimau telah masuk ke kampung, tetapi yang makan orang (kejadian di Pos Bihai) itu bukan daripada ketiga-tiga itu,” katanya.

Katanya, setakat ini juga tiada aktiviti pemburuan haram terhadap Harimau Malaya di negeri ini memandangkan keselamatan hidupan liar itu khususnya di Kelantan masih terjaga selain undang-undang mengenai aktiviti juga sudah ada sebelum ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button