Berita Utama

Perak sedang giat kesan aktiviti sijil vaksinasi COVID-19 palsu

Tindakan tegas akan diambil dengan segera tanpa sebarang kompromi

IPOH, 9 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Jabatan Kesihatan Negeri Perak bersama pihak polis sedang mengesan sebarang aktiviti pemalsuan sijil vaksinasi COVID-19 di negeri ini yang dikhuatiri berlaku seperti di Terengganu baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, pemantauan giat dijalankan dan tindakan tegas akan diambil dengan segera tanpa sebarang kompromi, sekiranya terdapat kes pemalsuan sijil vaksinasi di Perak.

“Buat masa ini tiada laporan kes pemalsuan sijil vaksinasi dan diharapkan agar tiada kes sebegini berlaku selepas ini, kerana tindakan tegas akan diambil dari semasa ke semasa.

“Kami bekerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempergiatkan pemantauan secara berkala di sekitar negeri Perak bagi menangani kes pemalsuan sijil tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Alat Bantuan Pernafasan kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini daripada Bandaraya Nanning, China melalui Majlis Bandaraya Ipoh yang bertindak sebagai perantara di antara negeri Perak dan bandar raya itu melalui hubungan Bandaraya Persahabatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, pihaknya mempergiat operasi dan pemantauan secara menyeluruh, dalam mengesan pihak disyaki terlibat dengan sindiket penjualan sijil vaksinasi palsu di seluruh negara.

Acryl Sani dilaporkan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan sindiket sedemikian wujud di negeri-negeri lain.

Mohd Akmal berkata demikian ketika mengulas isu penjualan sijil vaksinasi palsu di Marang, Terengganu, apabila seorang lelaki yang juga doktor berusia 51 tahun ditahan di kliniknya dalam satu serbuan bersama Jabatan Kesihatan Terengganu, selepas mendapat aduan awam mengenai kegiatan tersebut.

Terdahulu, majlis yang turut dihadiri Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin itu menyaksikan sumbangan dua alat bantuan pernafasan bernilai kira-kira RM136,000 yang telah diserahkan pada 17 Disember lalu, bagi membantu perkhidmatan kesihatan khususnya di HRPB dalam memerangi COVID-19 dan menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Mohd Akmal berkata, ketika ini terdapat sebanyak 12 kes aktif yang memerlukan penggunaan alat bantuan pernafasan iaitu sebanyak 4.6 peratus kadar penggunaan.

Katanya, pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 di Perak pula adalah amat menggalakkan dengan seramai 527,964 individu berusia 18 tahun ke atas telah menerima suntikan setakat ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button