Dunia

Rundingan damai Selatan Thailand kembali diadakan secara bersemuka

Ianya telah tertangguh selama 2 tahun akibat pandemik COVID-19

PATTANI, 9 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Rundingan damai selatan Thailand yang tertangguh hampir dua tahun akibat pandemik COVID-19 diadakan semula secara bersemuka buat pertama kali pada Selasa di Kuala Lumpur, Malaysia.

Ketua perunding Jeneral Wanlop Rugsanaoh dan kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, iaitu Barisan Revolusi Nasional (BRN) diketuai Anas Abdulrahman menghadiri Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama Rundingan Damai Selatan Thailand itu.

Hadir sama pada mesyuarat dua hari itu yang berakhir hari ini ialah bekas ketua polis negara Malaysia Tan Sri Rahim Mohd Noor, yang bertindak sebagai fasilitator.

Setiausaha Proses Rundingan Damai Selatan Thailand Leftenan Jeneneral Thira Daewa berkata tiga perkara telah dipersetujui di meja rundingan, iaitu mengurangkan keganasan di lapangan, penglibatan bersama sayap politik dan mekanisme perbincangan di lapangan.

“Ini akan menjadi hala tuju proses rundingan damai yang akan datang,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Wanlop dijangka menghadiri satu sidang media di Phuket pada Sabtu ini di mana beliau akan memaklumkan perkembangan terkini proses rundingan di Kuala Lumpur yang berakhir hari ini.

Mesyuarat rasmi pertama telah diadakan di Kuala Lumpur pada 20 Januari 2020 apabila kedua-dua pihak bersetuju rundingan merupakan cara terbaik menyelesaikan konflik bersenjata di selatan Thailand. Mesyuarat kedua telah diadakan pada 2 dan 3 Mac 2020 juga di Kuala Lumpur.

Mesyuarat-mesyuarat rasmi itu disifatkan harapan baharu dalam menamatkan keganasan di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla, wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Rundingan secara bersemuka tergendala apabila sempadan Thailand dan Malaysia ditutup berikutan pandemik COVID-19. Namun, kedua-dua pihak telah mengadakan mesyuarat secara maya sebanyak tiga kali sepanjang tempoh COVID-19.

Pemberontakan di selatan Thailand yang bermula pada 2004 telah mengorbankan lebih 7,000 nyawa. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button