Berita Utama

SWCorp harap ramai sukarelawan bantu proses lupus al-Quran lusuh

Jumlah bahan pelupusan cecah 25 tan perlukan ramai tenaga kerja

BANGI, 9 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan berharap, lebih ramai sukarelawan membantu proses melupuskan al-Quran lusuh di Pusat Pelupusan Al-Quran Darul Kalam, Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Kuala Lumpur.

Pengarahnya, Ummi Kalthum Shuib berkata, ketika ini al-Quran lusuh yang berjaya dikumpulkan di pusat berkenaan semakin meningkat dan mencecah seberat 25 tan.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan, proses pelupusan berkenaan dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya akhir bulan ini.

“Hari ini kami melawat semula pusat pelupusan ini bagi melihat proses pengasingan dan pelupusan al-Quran yang dianggarkan seberat 25 tan.

“Dengan jumlah tersebut, pusat berkenaan dijangka memerlukan masa lebih lama untuk membuat pelupusan.

“Ini kerana, dokumen yang mengandungi ayat al-Quran perlu diasingkan sebelum dilupuskan bersama al-Quran atau dikitar semula, selain pembakaran juga dibuat berfasa kerana kebanyakan al-Quran perlu dikeringkan terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ummi Kalthum menjelaskan, buat masa ini pihaknya memiliki 84 sukarelawan digerakkan untuk membantu pusat pelupusan itu termasuk 35 sukarelawan SWCorp sendiri.

“Mana-mana yang berminat untuk menjadi sukarelawan di pusat pelupusan ini boleh hubungi Muhammad Fahmi Hashim di talian 012-3745935,” katanya.

Selepas banjir berlaku di beberapa negeri, SWCorp Wilayah Persekutuan tampil mengambil inisiatif membantu mengutip dan mengambil al-Quran serta dokumen yang mengandungi ayat al-Quran untuk dilupuskan.

Kerja-kerja pelupusan itu dibuat hasil kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) serta masjid dan surau di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button