Berita UtamaDunia

Taliban minta Uzbekistan, Tajikistan pulang semula pesawat milik Afghanistan

Gesa semua juruterbang yang larikan diri kembali ke tanah air

ISLAMABAD, 9 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Taliban meminta Uzbekistan dan Tajikistan memulangkan semula pesawat dan helikopter milik tentera udara yang digunakan juruterbang untuk melarikan diri ke negara jiran ketika keadaan kucar-kacir, sebelum ini.

Menteri Pertahanan Afghanistan, Mohammad Yaqoob berkata, Taliban tidak pernah membenarkan pesawat-pesawat milik tentera udara dirampas atau digunakan negara asing.

“Saya secara hormat menyeru Uzbekistan dan Tajikistan tidak menguji kesabaran dan tidak memaksa pihak kami mengambil tindak balas dan merampas semula pesawat berkenaan,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Sebelum ini, juruterbang tentera udara Afghanistan melarikan diri bersama ahli keluarga ke Uzbekistan dengan menaiki lebih 40 pesawat termasuk pesawat ringan A-29 dan Helicopter Black Hawks, hanya beberapa hari sebelum Taliban mengambil alih pentadbiran negara.

September lalu, pihak berkuasa Uzbekistan melaporkan pihaknya telah menghantar semula ratusan juruterbang dan keluarga yang terbang secara haram ke negara menggunakan pesawat tentera.

Afghanistan sebelum ini memiliki lebih 164 pesawat, sebilangan besar telah dibawa lari ke negara lain dan kini hanya 81 buah pesawat masih berada dalam simpanan negara.

Mohammad Yaqoob dalam ucapan turut menggesa semua juruterbang untuk kembali ke Afghanistan.

Bagaimanapun penganalisis menyuarakan keraguan dengan jaminan Taliban memberi pengampunan kepada bekas pegawai kerajaan Afghanistan.

Sebelum ini, terdapat dakwaan berpuluh-puluh bekas anggota keselamatan Afghanistan terbunuh sejak kebelakangan ini, kononnya kerana serangan balas.

Namun Taliban menafikan tindakan berkenaan sebagai balas dendam. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button