Berita Utama

Didik generasi muda bahana rasuah supaya tak jadi budaya

Tambah nilai unsur salah laku dalam silibus sedia ada di sekolah

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 10 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Walaupun COVID-19 kini dikatakan musuh nombor satu negara, isu salah laku dan rasuah di Malaysia sebenarnya lebih membimbangkan kerana menjadi antara faktor kejatuhan sesebuah tamadun.

Bahkan, budaya rasuah menyaksikan sesebuah negara berdepan kehancuran pentadbiran dan pemerintahan, selain pelbagai masalah lain termasuklah ketidakstabilan serta kemerosotan ekonomi.

Maka, sudah tiba masanya untuk Malaysia serius memerangi dan memusuhi budaya rasuah supaya tidak terus menjadi ‘barah’ dalam kalangan masyarakat, khususnya norma biasa bagi generasi muda.

Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Nor Izzat Johari berkata, negara memerlukan satu perubahan besar dan tuntas terhadap isu-isu salah laku dan rasuah, sama ada kepada individu penerima atau pemberi.

“Kita sememangnya memusuhi segala perbuatan salah laku berkaitan rasuah, tidak kira bagi individu pemberi atau penerima, apatah lagi jika membabitkan jabatan agensi kerajaan.

“Saya kira sudah tiada alasan lagi untuk individu pemberi dan penerima rasuah ini dikenakan tindakan tegas, tanpa mengira apa pangkat atau kedudukan mereka,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, amalan salah laku ini tidak hanya perlu didedahkan dengan hukuman semata-mata, sebaliknya perlu ada pendekatan mendidik khususnya kepada generasi muda supaya ia tidak dianggap sebagai ‘budaya’.

“Seperti di negara Jepun dan New Zealand sejak di sekolah lagi telah mengamalkan pendidikan menerapkan mengenai bahana rasuah.

“Dari situ kita juga boleh lihat dalam sistem pendidikan kita perlu ada tambah nilai berkaitan dengan rasuah, keburukan serta kesan jika terlibat perbuatan itu,” katanya.

Sehubungan itu, Izzat menyarankan Kementerian Pendidikan (KPM) memainkan peranan untuk mempertimbangkan silibus berkaitan dengan salah laku rasuah.

“Tidak perlu untuk menambah mata pelajaran baharu, cukup sekadar menambah nilai dalam subjek-subjek sedia ada seperti Pendidikan Islam atau Moral.

“Perlu ada tambah nilai dan masukkan unsur-unsur keburukan rasuah kepada diri, keluarga dan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button