Berita Utama

Bersatu sedia hadapi PRN Johor jika dilaksanakan

PN tak mahu PRN, namun UMNO dilihat terlalu bersungguh-sungguh

PUTRAJAYA, 10 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan kesediaan untuk berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor jika ia diadakan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya sentiasa mengadakan mesyuarat sebagai persediaan ke arah PRN termasuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya sebagai Setiausaha Agung Bersatu sentiasa adakan mesyuarat dan akan memastikan rakyat di negara ini tahu siapa kepimpinan terbaik bagi kepentingan negara,” katanya seperti dilapor Kosmo, hari ini.

Sebelum ini, timbul desas-desus mendakwa PRN Johor akan diadakan dalam tempoh terdekat selepas kerajaan negeri kini hanya mempunyai kelebihan majoriti satu kerusi iaitu 28 berbanding pembangkang 27.

Bagaimanapun, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad tidak menyatakan sebarang pendirian khusus ketika ditanya mengenainya.

Katanya, meskipun tidak selesa dengan keadaan terkini Dewan Undangan Negeri (DUN) yang hanya mempunyai kelebihan satu kerusi, tiada sebarang isu yang berbangkit melibatkan kedua-dua pihak.

Sementara itu, Pengarah Operasi Pilihan Raya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin seperti dilapor portal tempatan berkata, tiada mana-mana pihak pun termasuk Perikatan Nasional (PN) yang mahukan PRN diadakan, kecuali UMNO.

“Kalau boleh PN dan Bersatu tidak mahu PRN, namun kita terpaksa bersiap sedia kerana nampak gayanya UMNO dilihat begitu bersungguh-sungguh mahu ia diadakan dalam masa terdekat.

“Namun saya hairan kerana alasan digunakan UMNO bahawa kerajaan negeri sekarang dalam keadaan kurang stabil kerana hanya mempunyai kelebihan satu kerusi iaitu 28 berbanding pembangkang 27 kerusi DUN sebelum ini adalah tidak munasabah. 

“Sebenarnya tiada siapa pun termasuk Pakatan Harapan (PH) mahu pun wakil rakyat PN berniat menjatuhkan kerajaan negeri sekarang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button