Berita Utama

Dasar, etika bukan alasan untuk media Malaysia maju ke depan

Kepakaran, potensi ada cuma platform berkreatif terhad

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 10 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Kekangan dari segi dasar dan undang-undang etika tidak sepatutnya dijadikan alasan bagi media di Malaysia untuk maju ke hadapan serta meneroka pasaran luar.

Sedangkan, dasar dan norma etika media di Malaysia sememangnya sudah selaras dengan Perlembagaan serta Rukun Negara tanpa menyekat atau mengehadkan ruang kreativiti, kata Pensyarah Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Farami Abdul Karim.

Malah, beliau tidak melihat kod etika yang ditetapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai halangan untuk media negara boleh berdaya saing di peringkat serantau dan global.

“Jadi yang penting di sini adalah kreativiti. Kita lihat ada negara seperti Iran, dikenali dunia dengan filem-filem mereka yang memenangi banyak anugerah.

“Walaupun filem mereka dilihat sebagai konservatif dari segi pemaparan dan tidak ada unsur yang melibat politik serta seksualiti, tetapi masih boleh menarik perhatian dunia,” katanya dalam temu bual Dimensi di TV Pertiwi, malam ini.

Ahmad Farami mengakui, negara sememangnya memiliki kepakaran, bahkan ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang sudah mencipta nama di luar negara disebabkan kemampuan kreativiti mereka.

“Cumanya mungkin ada beberapa situasi dan kondisi di Malaysia ini termasuklah industri kita yang tidak begitu besar, jadi kita tiada kepelbagaian dari segi genre yang mungkin berkembang pesat seperti dokumentari.

“Maka, kita perlu fikir semula apa yang kita hasilkan, kandungan seperti dokumentari dan investigative reporting. Inilah yang menjadi kekuatan media global seperti Al Jazeera,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia perlu terlebih dahulu mewujudkan banyak program berbentuk dokumentari dan mempopularkan genre itu dalam kalangan rakyat sebelum menarik perhatian dunia.

“Jadi, kita perlu ada audience dalam negara kita sendiri yang dikondisikan untuk merai kandungan sebegini sebelum ia dipasarkan ke luar negara.

“Kepakaran ada, potensi ada, graduan kita juga ramai yang berpotensi dalam bidang penyiaran cuma peluang untuk mereka menghasilkan kreativiti itu terhad disebabkan platform yang terhad dan adanya budaya mengikut, mencontohi dan meniru kandungan luar sehingga keunikan kita sendiri tidak dapat ditonjolkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button