Dos penggalak AstraZeneca didakwa hasil antibodi terhadap Omicron
Bakal serah data pada pengawal selia ubat seluruh dunia

LONDON, 10 Jamadilakhir 1443H, Khamis – AstraZeneca mendakwa data awal daripada percubaan yang dijalankan menerusi suntikan penggalak vaksin COVID-19, Vaxzevria, menunjukkan penghasilan tindakan balas antibodi lebih tinggi terhadap varian Omicron.
Malah, pengeluar vaksin itu mendakwa, dos penggalak yang diberikan kepada penerima juga menghasilkan tindak balas tinggi kepada varian lain termasuk Beta, Delta, Alpha dan Gamma.
Katanya, tindak balas meningkat dilihat pada individu sebelum ini yang menerima vaksin sama ada Vaxzevria atau mRNA, sambil memaklumkan akan menyerah data berkenaan kepada pengawal selia ubat seluruh dunia memandangkan keperluan mendesak terhadap dos penggalak.
AstraZeneca telah membangunkan vaksin itu bersama penyelidik dari Universiti Oxford, dan kajian makmal bulan lalu mendapati dos ketiga Vaxzevria berkesan terhadap varian baharu yang dikatakan mudah merebak.
Syarikat itu berkata, bukti juga menyokong dos ketiga boleh diambil tanpa mengira jadual vaksinasi utama.
“Kajian penting ini menunjukkan bahawa dos ketiga Vaxzevria selepas lengkap dua dos dari vaksin yang sama, atau selepas mRNA atau vaksin yang tidak aktif, sangat meningkatkan imuniti terhadap COVID-19,” kata Ketua Kumpulan Vaksin Oxford, Andrew Pollard dalam satu kenyataan.
Percubaan pada bulan Disember mendapati suntikan AstraZeneca meningkatkan antibodi apabila diberikan sebagai penggalak selepas vaksinasi awal dengan suntikan sama atau Pfizer, yang berasaskan teknologi mRNA. – Agensi