Berita Utama

iGuru tolak cadangan mansuh subjek Pendidikan Islam di sekolah

Kurikulum perlu tekankan aspek amali berbanding hafal sahaja

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 10 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menolak cadangan mengurang atau memansuhkan subjek Pendidikan Islam di sekolah rendah seperti yang sedang tular di media sosial, baru-baru ini.

Presidennya, Ustaz Azizee Mohd Hasan berpandangan, penekanan kepada subjek Pendidikan Islam di sekolah perlu diberikan keutamaan.

Ini kerana, jelasnya, generasi hari ini terdedah dengan pelbagai risiko masalah disiplin dan kelunturan akhlak.

“Ancaman keruntuhan moral dan pemikiran liberalisasi boleh menghambat akidah dan keimanan generasi pelajar hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas isu tular di media sosial berhubung pengajaran subjek Pendidikan Islam di peringkat sekolah rendah. 

Katanya, terdapat pelbagai pihak memberikan pandangan sehingga menimbulkan polemik dan memberikan tanggapan negatif terhadap subjek Pendidikan Islam.

Daripada dimansuhkan, i-Guru sebaliknya berpandangan kurikulum Pendidikan Islam sedia ada perlu diperkasakan di peringkat sekolah rendah, dengan orientasi menekankan aspek amali dan teori daripada sekadar hafalan serta ingatan. 

“Ini kerana waktu pengajaran yang sedia ada yang hanya memperuntukkan enam sesi yang memakan masa tiga jam seminggu tidak cukup untuk membina keperibadian dan jati diri murid dan pengukuhan nilai dalam memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan. 

“Aspek pembentukan watak perlu diberi tumpuan di samping pembangunan bakat murid,” katanya.

Pada masa sama, i-Guru juga mencadangkan satu jawatankuasa semakan semula kurikulum Pendidikan Islam ditubuhkan.

Ia supaya dapat membina kualiti murid yang akan mendorongnya menguasai ilmu-ilmu dalam bidang lain terutama berdepan cabaran IR 4.0 dan era VUCA, kata Ustaz Azizee.

Beliau menjelaskan, semakan itu dapat membuka ruang untuk olahan yang lebih dinamik dan berdaya saing serta kemahiran yang diperlukan untuk pasaran masa depan tanpa mengabaikan aspek keagamaan.

“Penekanan subjek tersebut sudah termaktub dalam Ordinan Pelajaran 1952 yang menggariskan hak murid Islam untuk mendapat pendidikan agama. 

“Malah, ia diperkukuhkan semula dalam Ordinan Pelajaran 1957 yang mewajibkan sekolah yang mempunyai bilangan murid seramai 15 orang wajib diajar pelajaran agama,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button