Berita Utama

KKM, KPDNHEP tetapkan harga borong, runcit 2 vaksin COVID-19

Tindakan tegas diambil pada individu, syarikat gagal patuh peraturan

BANGI, 10 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bekerjasama melaksanakan penentuan harga maksimum vaksin COVID-19 untuk mengelakkan ia dijual terlalu tinggi di pasaran.

Menerusi satu kenyataan bersama hari ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, penguatkuasaan perintah itu akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM.

Katanya, penentuan harga vaksin COVID-19 hanya membabitkan vaksin yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) KKM.

“Buat masa ini, KKM melaksanakan proses penentuan bagi dua produk vaksin COVID-19 sahaja iaitu jenama CoronaVac keluaran Sinovac dan Covilo keluaran Sinopharm.

“Harga borong maksimum dan harga runcit maksimum bagi kedua-dua vaksin ini akan berkuat kuasa pada 15 Januari 2022 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Bagi vaksin jenama CoronaVac, harga borong maksimum ditetapkan pada RM62, sementara bagi runcit pada RM77, manakala untuk vaksin Covilo pula ditetapkan pada RM49 untuk borong dan RM61 bagi runcit.

Kenyataan itu berkata, harga runcit maksimum yang ditetapkan adalah tidak termasuk caj perkhidmatan dan caj barangan pakai buang yang digunakan ketika suntikan vaksin COVID-19.

Menurutnya, penentuan harga maksimum ini secara asasnya dibuat berdasarkan harga pengimportan dan harga pasaran semasa.

“Senarai dan harga vaksin COVID-19 akan dikaji secara berterusan dan akan ditambah baik atau digugurkan berdasarkan penilaian situasi pasaran dan keperluan semasa.

“Setiap fasiliti kesihatan swasta yang mendapat kelulusan kerajaan untuk menawarkan private-purchase vaccination diwajibkan mempamerkan harga jualan vaksin COVID-19 untuk rujukan orang ramai dalam meningkatkan ketelusan maklumat harga vaksin,” katanya.

Oleh itu, katanya, orang ramai boleh membuat perbandingan harga dan mendapatkan vaksin COVID-19 pada harga yang berpatutan mengikut pilihan pengguna.

Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau syarikat yang gagal mematuhi peraturan-peraturan berkenaan.

Katanya, mana-mana individu atau syarikat yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, serta denda sehingga RM500,000 atau dikompaun RM250,000 bagi syarikat.

“Kerajaan telah menyediakan medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga.

“Jika didapati ada individu atau syarikat yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan harga maksimum ini, pengguna boleh menyalurkan aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KKM http://moh.spab.gov.my,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button