Berita UtamaDunia

Lelaki Palestin 80 tahun meninggal diserang kejam tentera Israel

Ahli keluarga tuntut siasatan antarabangsa terhadap kematian Omar

RAMALLAH, 10 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Seorang lelaki Palestin berusia 80 tahun meninggal dunia pagi ini, selepas ditangkap dan diserang dengan kejam oleh tentera penggans Israel di kampung Jiljilya, utara Ramallah di Tebing Barat yang diduduki, kata Kementerian Kesihatan Palestin.  

Ketua Kompleks Perubatan Palestin di Ramallah, Ahmad Bitawi memberitahu, Al Jazeera bahawa Omar Abdulmajeed Asad meninggal dunia setibanya di hospital kira-kira jam 5.30 pagi.

Menurut Datuk Bandar tempatan, Omar dan ahli keluarganya sedang bergerak pulang ke rumah selepas melawat saudara-mara apabila kereta mereka dihalang oleh tentera. 

“Mereka (tentera rejim) memberhentikan kereta di pusat kampung dan menangkap penumpang di dalam dan menggari mereka.

“Kami menuntut siasatan antarabangsa dan penjenayah dipertanggungjawabkan,” kata Fuad Moutee kepada AFP. 

Abang Omar memaklumkan bahawa dia seorang warga emas yang mengalami masalah pernafasan dan jantung.  

“Saya tidak faham bagaimana seorang lelaki seusia boleh dianggap bahaya. Mereka menggarinya dan menolaknya. Itu penderaan. Tidak dapat disangkal lagi apa yang dia lalui menyebabkan kematiannya,” katanya.

Serbuan semalaman oleh tentera Israel adalah amalan hampir setiap hari di Tebing Barat yang diduduki. 

Israel mendakwa bahawa serbuan sedemikian penting untuk tujuan risikan, tetapi kumpulan hak asasi manusia telah menyelar dan menegaskan bahawa matlamatnya adalah untuk menindas serta menakut-nakutkan penduduk Palestin dan meningkatkan kawalan negara.  

Seperti pusat pemeriksaan dan penghalang pemisah, serbuan itu adalah sebahagian daripada modus operandi pasukan pendudukan, kata pengkritik. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button