Berita Utama

Mahkamah tetap 15 Februari sebagai pengurusan kes saman fitnah Azam Baki

Saman terhadap Lalitha Kunaratnam atas dakwaan terbit artikel memfitnah

KUALA LUMPUR, 10 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Mahkamah Tinggi menetapkan 15 Februari depan sebagai pengurusan kes bagi saman yang difailkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki terhadap penyelidik kanan Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) Lalitha Kunaratnam atas dakwaan menerbitkan artikel memfitnah berkaitan pembelian saham yang disiarkan oleh portal agensi berita Independent News Service (INS).

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Noordura Mohamed Din secara dalam talian (e-Review) pada 9 pagi.

Azam, 59, selaku plaintif memfailkan saman itu semalam melalui Tetuan Zain Megat & Murad dengan menamakan Lalitha, 39, sebagai defendan tunggal.

Pernyataan tuntutan Azam mendakwa defendan telah mengarang dua artikel bertajuk Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go? (Bahagian 1) dan Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go? (Bahagian Dua) yang pertama kali diterbitkan oleh Lalitha dalam INS pada 26 Okt sebelum kedua-dua artikel diterbitkan semula pada 15 Dis tahun lepas.

Dakwa plaintif, defendan turut berkongsi pautan artikel itu di laman Twitternya atas nama @LalithaVelvet untuk disebarkan kepada umum dan pautan kepada kedua-dua artikel masih boleh diakses sehingga kini.

Azam mendakwa tajuk artikel itu adalah sensasi, bersifat skandal dan menjengkelkan kerana ia dikarang dan diterbitkan semula dengan niat jahat bagi memberi kesan serta gambaran yang amat buruk kepada pembaca bahawa plaintif seorang penjawat awam yang korup atau menyalahgunakan kedudukannya sebagai seorang pegawai tinggi SPRM untuk kepentingan sendiri atau adik-beradiknya.

Dakwa plaintif, selain kedua-dua artikel dan ciapan menerusi Twitter, defendan pada 9 Jan lepas turut membuat ciapan dengan menerbitkan semula kenyataan media peguamnya, Manjeet Singh Dhillon.

Azam mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau memiliki saham dan waran bernilai jutaan ringgit dengan wang pembelian saham dan waran diperoleh secara salah serta plaintif membuat pelaburan bernilai jutaan ringgit dalam tempoh yang singkat selain tidak mengisytiharkan pembelian saham dan waran terbabit semasa beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Siasatan SPRM.

Selain itu, plaintif mendakwa kenyataan tersebut membawa maksud beliau dan adiknya melalui syarikat RI Intelligence Sdn Bhd terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan aktiviti rahsia yang bercanggah di sisi undang-undang.

Dakwanya, kenyataan itu turut memfitnah SPRM secara keseluruhan dan defendan juga seolah-olah menghina Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah melantik plaintif sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM selaras dengan undang-undang sedia ada.

Azam juga mendakwa defendan telah menyalahgunakan peranan beliau sebagai seorang wartawan penyiasat untuk memanipulasi dan mengelirukan orang awam bahawa kenyataan fitnah itu adalah benar walaupun hakikatnya ia adalah tidak benar serta bersifat spekulatif.

Plaintif berkata surat tuntutan telah dikeluarkan supaya defendan memadam kenyataan fitnah itu dan memohon maaf namun Lalitha, melalui peguamnya, telah mengeluarkan kenyataan di akaun Twitter yang menyatakan beliau berpegang teguh dengan artikel tersebut yang jelas tidak menunjukkan sebarang penyesalan.

Dakwa Azam, penerbitan fitnah itu menyebabkan nama dan reputasinya tercemar dan oleh itu, beliau menuntut perintah bagi menghalang Lalitha atau ejennya daripada membuat, menerbitkan atau menyebabkan kenyataan berbaur fitnah tersebut diterbitkan semula selain memohon defendan memadam artikel dan ciapan dalam tempoh tiga hari penghakiman dibuat serta permohonan maaf dalam akhbar atau media sosial pilihan plaintif.

Turut dituntut ganti rugi am sebanyak RM10 juta dan ganti rugi teruk, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button