Malaysia perlu anjakan paradigma ubah landskap penyiaran dan media
Jaringan teknologi berupaya dorong media untuk terus maju

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 10 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Malaysia mempunyai potensi untuk berkembang meningkatkan imej dan reputasi sebagai pusat media.
Ia boleh dilaksanakan dengan langkah strategik yang komprehensif, namun memerlukan sokongan serta galakan bukan sahaja daripada kerajaan bahkan industri media sendiri.
Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media dan Industri Kreatif Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Alsagoff berpandangan, bahawa negara sekarang ini sudah ada satu strategi untuk menjayakan industri media.
“Tetapi kita harus memberikan satu tumpuan strategi lebih baik ke arah itu apatah lagi adanya COVID-19 dan beberapa ancaman bencana di negara kita telah sedikit sebanyak memperlahankan lagi strategi untuk mengembangkan teknologi media.
“Sebaliknya kita banyak mengimport kandungan media daripada negara luar berbanding kita sendiri yang menghasilkan kandungan serupa itu,” katanya ketika menjadi panel dalam program Dimensi bertajuk: Mampukah Malaysia Miliki Kuasa Pengaruh Media Asia? di TV Pertiwi, malam ini.
Beliau menjangkakan Malaysia mengambil masa sekurang-kurangnya lima hingga 10 tahun untuk menjadi hab media di Asia Tenggara.
Syed Agil turut berpendapat bahawa negara memerlukan anjakan paradigma yang boleh mengubah landskap penyiaran dan media.
“Strategi pertama, kita harus ada jaringan teknologi yang berupaya mendorong media untuk terus maju seperti teknologi 5G dan sebagainya.
“Tetapi kita tidak boleh bergantung kepada teknologi itu sahaja, kita harus ada strategi inovasi yang boleh melengkapkan struktur kandungan, program kita dalam dunia media ini.
“Kedua, percambahan dan perhebatan syarikat dan agensi media ini. Kita kena perbanyakkan dan memberi mereka satu dana dan hala tuju syarikat media untuk terus melangsungkan fungsi mereka bukan sahaja bergantung kepada kandungan tempatan tetapi juga akan mengeskport kandungan kepada luar negara,” katanya.
Pautan Dimensi;
https://www.facebook.com/TvPertiwi/videos/666547524515294