Berita UtamaDunia

Uzbekistan potong 60 peratus bekalan elektrik Afghanistan tanpa notis

Didakwa berkait amaran Taliban supaya kembalikan helikopter

KABUL, 11 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Uzbekistan memotong bekalan elektrik yang disalurkan ke Kabul dan 16 wilayah di Afghanistan tanpa sebarang notis.

Syarikat utiliti Afghanistan, Da Afghanistan Breshna Sherkat (DABS) dalam kenyataan memaklumkan, pemotongan bekalan elektrik dilakukan sejak 12 Januari atas alasan berlaku masalah teknikal di pencawang Talimarjan, negara berkenaan.

Bagaimanapun, Uzbekistan memberi jaminan masalah dijangka selesai dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

“Walaupun alasan utama berpunca daripada masalah teknikal, namun ia berkemungkinan berkaitan amaran Menteri Pertahanan Taliban yang meminta Uzbekistan mengembalikan semula helikopter ke negaranya,” kata DABS.

Rabu lalu, Taliban meminta Uzbekistan dan Tajikistan memulangkan semula pesawat dan helikopter milik tentera udara yang digunakan juruterbang untuk melarikan diri ke negara jiran.

Da Afghanistan Breshna Sherkat ialah sebuah syarikat bebas dan berautonomi yang ditubuhkan di bawah Undang-undang Perbadanan dan Liabiliti Terhad Republik Islam Afghanistan (IROA).

DABS juga syarikat liabiliti terhad dengan semua saham ekuitinya dimiliki oleh kerajaan Afghanistan (GoA).

Syarikat tersebut diperbadankan pada 4 Mei 2008 bagi menggantikan Da Afghanistan Breshna Moassassa (DABM) sebagai syarikat utiliti rasmi negara.

DABS mengendalikan dan mengurus penjanaan, import, penghantaran dan pengedaran kuasa elektrik di seluruh Afghanistan secara komersial. – Agensi

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/01/12/taliban-minta-uzbekistan-tajikistan-pulang-semula-pesawat-milik-afghanistan/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button