Berita Utama

CAP gesa tubuh Suruhanjaya Siasatan insiden runtuhan gudang logistik

Tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab

BANGI, 16 Jamadilawal 1445H, Khamis – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Suruhanjaya Siasatan dibentuk segera susulan insiden runtuhan projek pembinaan gudang logistik di Batu Maung, Pulau Pinang, kelmarin.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, penubuhan Suruhanjaya Siasatan berkenaan penting bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan yang teliti dan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kemalangan itu.

“Kami merasa amat terkejut dan kecewa apabila sebuah lagi bangunan yang sedang dalam pembinaan runtuh.

“Satu suruhanjaya siasatan perlu ditubuhkan segera bagi menyiasat kejadian ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (DOSH) menyiasat dengan menyeluruh insiden yang berlaku.

Katanya, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab dengan insiden yang meragut nyawa itu.

Dalam kejadian pada jam 9.58 malam itu, tiga pekerja pembinaan warga Bangladesh disahkan maut selepas gudang logistik dalam pembinaan itu runtuh.

Manakala dua lagi mangsa dilaporkan parah dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan.

Berita berkaitan;
https://ismaweb.net/2023/11/29/runtuhan-gudang-tiga-pekerja-maut-dua-parah-empat-tertimbus/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button