Berita Utama

Buli siber: Malaysia kedua tertinggi di Asia

Kurang kasih sayang ahli keluarga dan masyarakat sekeliling mereka

KUALA LUMPUR, 11 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan kedua di Asia pada 2020 bagi perbuatan buli siber dalam kalangan belia, menunjukkan bahawa buli siber kini menjadi masalah yang semakin ketara dalam negara.

Penggunaan media sosial yang meluas telah menjadikan ia platform yang menggalakkan perbuatan buli siber dan sikap buruk, bukan sahaja dalam kalangan belia, malah orang dewasa.

Penyelidik mengenai buli siber belia Jessie Yong berkata, perbuatan itu mungkin berpunca dari rasa tidak gembira si pembuli akibat keperluan asasnya tidak dipenuhi.

“Menurut Teori Pilihan Glasser, keperluan-keperluan itu berkisar kepada aspek kelangsungan hidup, isu kepunyaan (untuk menyayangi, disayangi dan harga diri), kuasa, kebebasan dan keseronokan,” jelasnya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Teori Pilihan yang dibangunkan oleh pakar psikiatri Amerika Syarikat, William Glasser itu menyatakan bahawa setiap manusia mempunyai lima keperluan asas yang menggerakkan tingkah laku (pilihan mereka).

“Apabila satu atau lebih keperluan asas ini tidak dipenuhi, mereka mungkin menggunakan buli siber sebagai platform bagi memuaskan keperluan itu. Itu sebabnya kes buli siber tidak hanya dilakukan oleh golongan belia sahaja, tetapi turut membabitkan orang dewasa,” jelas Yong, yang juga pensyarah sambilan di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC). 

“Kajian juga menunjukkan bahawa pelaku buli siber mengalami kadar kesunyian yang tinggi,” katanya dalam webinar TalkSpace yang diadakan baru-baru ini bagi menangani isu berkaitan dengan buli siber terutama dalam kalangan belia.

“Ini disebabkan oleh kekurangan kasih sayang ahli keluarga dan masyarakat di sekeliling mereka. Membuli dalam talian adalah usaha mereka untuk meraih perhatian daripada orang asing,” katanya.

Beliau berkata mereka yang mempunyai rasa harga diri yang rendah, rasa kurang diterima secara sosial dan rasa kurang popular atau kurang disukai, juga mempunyai kecenderungan untuk terlibat dalam buli siber, berikutan kajian menunjukkan bahawa pembuli siber selalunya adalah individu yang tidak pandai bersosial.

Sementara itu dalam seminar yang sama, pengasas Projek #Cybercancelled dan bekas Miss Petite Universe International Semenanjung (MPUIS) 2020, Narvinni Jayakumar berkongsi pengalamannya  berhadapan dengan pelbagai bentuk buli siber sejak berusia 16 tahun.

Menurutnya, beliau melalui pengalaman dibuli secara lisan, secara penyamaran serta secara menghendap siber (cyber stalking); dan kini beliau berhasrat untuk membantu mereka yang mengalami situasi sama dengannya.

Sesi webinar pada 29 Disember lepas itu, dianjurkan buat julung kalinya oleh pelajar tahun akhir Komunikasi Persuasif dari Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia dan dihadiri lebih 400 orang.

Kumpulan pelajar itu turut melancarkan kempen NETHICS bagi tujuan memupuk etika media sosial yang baik dan membendung gangguan siber.

Pengarah projek Larissa Lorelle Christian berkata, kempen itu akan memberi peluang kepada belia untuk menangani isu buli siber dan mempelajari etika berkomunikasi dalam talian.

Bengkel WorkSpace turut diadakan sempena kempen berkenaan pada 10 Jan lepas untuk berkongsi kepentingan membina jenama diri dan cara untuk memperbaiki identiti dalam talian menerusi platform media sosial. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button