Berita UtamaIstimewa

Ceroboh hutan simpan: Kenapa ada ‘double standard’?

Pelik! Kes pencerobohan puluhan ribu hektar hutan simpan di Pahang masih tiada hukuman

BANGI, 11 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Rakyat tertanya-tanya mengapa wujud sikap seolah-olah ‘double standard’ dalam menangani isu pencerobohan hutan simpan kekal.

Ini selepas seorang guru di sebuah madrasah bersama pelajarnya didenda masing-masing RM1,500 oleh Mahkamah Sesyen di Sungai Petani atas kesalahan menceroboh Hutan Simpan Kekal Rimba Teloi, Sik, tahun lalu.

Terdahulu, mahkamah memerintahkan tertuduh, Ismail Taib, 69, dan Kairulanuar Zulkifili, 34, dipenjara selama enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Hakim Najwa Che Mat membuat keputusan itu selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka dituduh memasuki kawasan hutan tertutup iaitu Kompartmen 23, Hutan Simpan Rimba Teloi tanpa memiliki permit memasuki hutan simpanan kekal pada jam 11.30 pagi pada 23 Ogos 2021.

Bagaimanapun timbul tanda tanya mengenai kes pencerobohan puluhan ribu hektar tanah hutan simpan di Pahang yang sudah berlaku sejak lebih 40 tahun dan disahkan oleh pihak mahkamah, namun masih tiada apa-apa hukuman dijatuhkan.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya menyifatkan ia bukan ceroboh biasa kerana mengaut hasil berjuta-juta setiap tahun.

“Itu belum lagi masuk bab pencerobohan-pencerobohan hutan untuk curi emas dan balak. Tahun lepas sahaja ada berapa banyak kes yang dilaporkan media. Sepi begitu sahajalah nampaknya.

“Begitu juga dengan Tanah-Tanah Rizab Melayu. Sudah lebih 60 tahun menjadi barang dagangan kepada para taikun. Walaupun undang-undang menyatakan wajibnya menggantikan Tanah Rizab Melayu yang hilang, tetapi ianya tidak dilakukan langsung,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, beliau mengakui menerima banyak rintihan kekecewaan daripada ramai pihak terhadap realiti yang berlaku.

“Memang sayu. Seorang guru madrasah dan pelajarnya dilapor telah didenda kerana menceroboh hutan simpan kekal dan boleh berdepan penjara enam bulan jika gagal membayarnya.

“Kita baru tahu yang kedua-duanya tidak diwakili peguam, dipercayai kerana tidak mampu. Tetapi akhir sekali, mereka membayarnya juga. Pasti tidak mudah untuk mereka mencari wang tersebut.

“Apa yang menariknya kes ini, ialah mereka telah menceroboh hutan simpan tersebut pada bulan Ogos 2021. Bulan Januari 2022 sudah dijatuhkan hukuman. Itu pun mereka hanya masuk tanpa permit sahaja, bukannya tanam durian atau gali emas pun,” katanya.

Justeru, bidasnya, itulah sentimen rakyat yang gagal para pemimpin fahami, iaitu isu ‘double standard’.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button