Berita Utama

ISMA lancar sambutan Jubli Perak bertemakan ‘Bersama Membangun Peradaban’

Berikrar bergerak lebih proaktif menjuarai isu semasa, bina negara berteras tauhid

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 7 Zulhijjah 1443H, Khamis – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) melancarkan Sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun penubuhannya dengan bertemakan ‘Bersama Membangun Peradaban’, malam ini.

Presiden ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni menegaskan, pertubuhan itu mahu bergerak dengan lebih proaktif bukan sahaja dalam menjuarai isu-isu semasa tetapi juga bersama-sama mengambil bahagian membina negara mengikut falsafah peradaban berteraskan tauhid.

“Sepanjang 25 tahun ini, ISMA adalah antara pertubuhan yang terkehadapan dalam isu-isu semasa antaranya mengetuai gerakan bantahan COMANGO pada 2014 yang mendapat perhatian kerajaan, mengetuai gerakan bantahan ICERD dan banyak lagi siri-siri kempen bertemakan ‘Selamatkan Ummah’ anjuran ISMA.

 

“ISMA juga terkehadapan di dalam program-program pembangunan jati diri muslim pelbagai lapisan umur. Tidak terhenti di sini, di masa akan datang ISMA mahu Malaysia bangun, dengan erti kata sebuah negara yang bersungguh-sungguh, ada falsafah dan konsep tertentu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bercakap mengenai sambutan Jubli Perak 25 Tahun ISMA, Ustaz Fauzi berkata, pelbagai program dirancang untuk diadakan selama empat bulan bermula dari 7 Julai hingga 21 Oktober 2022.

Katanya, ia sebagai satu usaha berterusan bagi mendapatkan sokongan masyarakat dan pimpinan tempatan.

Beliau berkata, sambutan akan bermula dengan Malam Munajat dan berakhir pada Malam Kemuncak Sambutan Jubli Perak 25 Tahun ISMA pada Oktober.

“ISMA pusat dan seluruh Malaysia akan memeriahkannya lagi dengan penganjuran pelbagai aktiviti termasuk Forum Selamatkan Ummah, Hari Keluarga dan Sukaneka Permainan Tradisional, Malam Kesenian dan Kebudayaan serta pelbagai aktiviti menarik lain yang akan dijalankan dari semasa ke semasa.

 

“ISMA mengharapkan agar masyarakat dapat bersama-sama memeriahkan sambutan Jubli Perak 25 Tahun ISMA ini,” katanya.

ISMA ditubuhkan pada 7 Julai 1997 bermula dengan 14 keahlian dan kini telah mencecah 200,000 orang, dengan 43 buah cawangan di dalam negara dan lapan buah cawangan di luar negara seperti Mesir, Jordan, Korea Selatan, Jepun, Amerika Syarikat, UK-EIRE, Australia dan New Zealand.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button