Berita Utama

Khairuddin Aman Razali digugur – Presiden

Keputusan dimuktamadkan dalam mesyuarat AJK PAS Pusat

MARANG, 11 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali digugurkan daripada menganggotai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sesi 2021-2023.

Perkara itu disahkan oleh Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Rusila, hari ini.

“Itu (digugurkan) biasa dalam parti… tak terpilih dalam muktamar, diberhentikan, ditukarkan (jawatan) itu biasalah. Dalam parti, ada Lembaga Disiplin.

“Siapa yang tak ikut disiplin dia boleh dinasihatkan untuk ditukar jawatannya, bertugas lain, boleh digantung keahlian dan boleh dipecat, banyak alasan, itu tatacara dalam parti kita,” katanya.

Difahamkan pengguguran Mohd Khairuddin itu dimuktamadkan dalam mesyuarat AJK PAS Pusat yang berlangsung di Kuala Lumpur Rabu lepas.

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu gagal mempertahankan jawatan sebagai AJK PAS Pusat bagi sesi 2021-2023 yang berlangsung pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 di Duyong Marina Resort, Kuala Nerus, 7 Nov tahun lepas.

Bagaimanapun beliau dilantik semula sebagai AJK PAS Pusat bersama dua pemimpin lain iaitu Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button