Berita Utama

Muhyiddin nafi pergi umrah tanpa vaksin COVID-19

Lawatan kerja rasmi tertakluk SOP ketat Arab Saudi

BANGI, 11 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan beliau tidak mendapat suntikan vaksin COVID-19 dan Meningococcal serta Meningitis (MM) ketika mengerjakan ibadah umrah pada Mac tahun lalu.

Pegawai Khas Muhyiddin, Mohd Naaim Mahmod berkata, bekas Perdana Menteri itu dan semua delegasinya telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 sebelum berangkat ke Arab Saudi serta menerima suntikan kedua sekembali ke tanah air, manakala MM tidak diwajibkan.

“Dakwaan Ustaz Abu Syafiq bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan delegasi tidak mendapat suntikan COVID-19 atau vaksin Meningococcal Meningitis ketika mengerjakan ibadah umrah pada bulan Mac 2021 adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ketika itu, kerajaan Malaysia dan Arab Saudi tidak mengenakan syarat lengkap suntikan vaksin COVID-19 atau vaksin lain untuk mana-mana pengembara yang ingin melakukan perjalan ke negara berkenaan.

“Selain itu, lawatan kerja rasmi Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 ke Arab Saudi yang diadakan atas undangan kerajaan Arab Saudi tertakluk kepada SOP yang ketat termasuk melakukan ujian PCR sebelum, semasa dan selepas lawatan.

“Hasil ujian PCR mendapati semua delegasi adalah negatif COVID-19,” katanya.

Mohd Naaim menjelaskan bahawa pergerakan delegasi di Arab Saudi juga dikawal ketat oleh pihak berkuasa di sana di dalam satu gelembung perjalanan yang telah ditetapkan.

Sebelum ini, pendakwah terbabit menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad supaya menyiasat Menteri Alam Sekitar dan Air yang didakwa mengerjakan ibadah umrah tanpa vaksinasi MM.

Ia susulan reaksi balas terhadap Idris yang menyelarnya di atas pengakuan melakukan ibadah dan membawa jemaah umrah tanpa vaksinasi MM.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button