Dunia

Omicron didakwa bantu bina imuniti kelompok?

Kurang risiko kematian, sebab gejala ringan banding varian lain

JOHANNESBURG, 11 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Varian Omicron didakwa boleh membantu membina imuniti kelompok dalam masyarakat kerana kebolehtransmisinya yang tinggi, menurut pakar virologi Afrika Selatan.

Dengan simptom yang lebih ringan dan kadar kematian yang rendah, Omicron didakwa berbeza daripada strain lain, berdasarkan data saintifik yang dikumpulkan dalam tempoh 50 hari selepas varian itu dikesan di Afrika Selatan dan Botswana.

Profesor Jabatan Virologi Universiti Perubatan Stellenbosch, Gert Van Zyl berkata, Omicron kurang risiko kematian berbanding varian lain kerana ia menyebabkan gejala lebih ringan.

Oleh kerana kebolehtransmisinya yang tinggi, ia juga membantu membina imuniti kelompok seperti dilihat pada kes sebelum ini yang pulih daripada coronavirus dan mereka yang telah diberi vaksin, katanya.

Zyl berkata, imuniti kelompok juga akan menjejaskan penularan wabak itu, selain Omicron juga memberikan imuniti agak tinggi terhadap varian lain seperti Delta.

“Walaupun tidak realistik untuk berfikir bahawa Omicron akan menjadi varian terakhir yang muncul dalam wabak ini, ia boleh bertukar menjadi corak endemik,” katanya.

Sesuatu penyakit dianggap endemik apabila ia kerap ditemui di kalangan populasi atau kawasan geografi tertentu.

Selain menekankan bahawa virus itu akan terus merebak dalam jangka panjang, Zyl menegaskan mengenai kepentingan melindungi individu berisiko tinggi seperti warga emas.

Katanya, langkah sekatan perjalanan juga sebagai tindak balas awal untuk melindungi perkhidmatan kesihatan negara.

“Kita harus memberi tumpuan kepada apa yang boleh dicapai dan menyelamatkan nyawa. Jangan guna alat lama untuk masalah baharu kerana keadaan sedang berubah,” katanya.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button