Berita Utama

Semakan daftar pemilih tambahan dibuka selama 6 bulan

5,718,760 warganegara 18 tahun ke atas didaftar automatik

BANGI, 11 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) membuka semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Disember Tahun 2021 (DPT BLN12/2021) selama 6 bulan bermula hari ini hingga 13 Julai 2022.

SPR memaklumkan, DPT BLN12/2021 mengandungi nama bagi 5,718,760 orang warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas sehingga 31 Disember 2021 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu, 25,220 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 9,293 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, suruhanjaya itu menyediakan empat kaedah semakan iaitu melalui portal di pautan http://www.spr.gov.my atau http://mysprsemak.spr.gov.my, selain menerusi aplikasi mudah alih MySPR Semak.

Selain itu, pemilih juga boleh membuat semakan di portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my atau Hotline SPR di talian 03-88927018.

“SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas sehingga 31 Disember 2021 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN12/2021.

“Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN12/2021, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C secara dalam talian di pautan http://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri berkenaan.

Katanya, Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun di portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh DPT BLN12/2021.

“Untuk sebarang pertanyaaan mengenai urusan semakan DPT BLM12/2021 ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di http://www.spr.gov.my atay hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya negeri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button